PPBM Kota Raja tidak dibubar, kata pemimpin bahagian

Semalam 4 bahagian PPBM di Selangor mengumumkan pembubaran masing-masing, sekali gus menyuarakan sokongan kepada Dr Mahathir Mohamad.

PETALING JAYA: Ketua bahagian PPBM Kota Raja, Wan Dzahanurin Ahmad menafikan laporan bahawa bahagian itu seperti 4 bahagian PPBM di Selangor sebelum ini akan dibubarkan petang ni.

Beliau berkata, pengisytiharan pembubaran bahagian PPBM hanyalah boleh dibuat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti.

“Mestilah dibawa ke mesyuarat MPT untuk diputuskan sama ada boleh bubar atau tidak seperti yang tertulis dalam perlembagaan.

Ketua PPBM Kota Raja Wan Dzahanurin Ahmad

“Sebagai ketua bahagian Kota Raja yang sah, saya menafikan kenyataan tersebut,” katanya kepada FMT.

Sebelum itu dilaporkan PPBM bahagian Bangi dan Kota Raja dijangka mengumumkan pembubaran masing-masing hari ini.

Semalam, 4 bahagian PPBM di Selangor mengumumkan pembubarannya, sekali gus menyuarakan sokongan kepada parti baru yang bakal ditubuhkan oleh bekas pengerusi parti itu Dr Mahathir Mohamad.

PPBM bahagian Petaling Jaya, Klang, Jeram dan Ulu Langat berkata, ia hilang kepercayaan pada kepimpinan tertinggi PPBM yang diketuai oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Seramai 3,300 ahli dikatakan keluar parti berikutan perkembangan itu.

Jumaat lalu, Mahathir mengumumkan penubuhan parti baru susulan pertikaian dalaman PPBM dan pembatalan keahlian beliau dan beberapa yang lain daripada parti itu.

Semalam, ahli MPT PPBM, Tariq Ismail dan Adun Jeram, Mohd Shaid Rosli mengumumkan keluar parti.

Dalam pada itu, Wan Dzahanurin berkata, sekiranya ada ahli yang mahu keluar parti, maka mereka boleh berbuat demikian.

“Tetapi mereka tidak boleh membubarkan bahagian PPBM. Agak lucu bila sesiapa sahaja boleh menyebut tentang pembubaran dengan mudah,” katanya.

Seorang ahli PPBM, Shahrul Hameed Abdul Wahab dilaporkan akan menganjurkan majlis keluar parti bersama-sama ahli jawatan kuasa PPBM bahagian Kota Raja petang ini.

Bagaimanapun ketika dihubungi, beliau enggan mengulas mengenai bilangan ahli PBBM yang akan keluar parti di bahagian itu.