PPBM Petaling Jaya tak bubar, kata pemimpin bahagian

Ketua bahagian PPBM Petaling Jaya Shakirien Abd Razak berkata, berita atau kenyataan dikeluarkan semalam palsu kerana individu berkenaan bukan ketua bahagian yang disahkan atau diiktiraf oleh kepimpinan.

PETALING JAYA: PPBM Petaling Jaya menafikan bahagian parti itu akan dibubarkan dan lumpuh seperti didakwa semalam.

Ketua bahagiannya Shakirien Abd Razak berkata, dakwaan pihak berkenaan disifatkan sebagai perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan mempunyai niat merosakkan nama baik parti.

“Mereka juga mengelirukan ahli serta masyarakat apabila mengaku sebagai kepimpinan bahagian.

“Bagi saya individu yang terlibat membuat kenyataan semalam adalah individu daripada golongan yang kecewa kerana kalah dalam pemilihan parti.

“Berita atau kenyataan dikeluarkan semalam palsu kerana dia bukan ketua bahagian yang disahkan atau diiktiraf oleh kepimpinan dan ini juga seperti ingin mencari publisiti murahan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian merujuk laporan sebuah portal yang mendakwa 500 ahli bahagian PPBM Petaling Jaya turut bertindak keluar parti.

Dakwaan itu dibuat Mohamad Shafiri Abd Karim yang mengaku sebagai ketua bahagian Petaling Jaya.

Shafiri berkata, beliau memutuskan untuk keluar parti beramai-ramai dan membubarkan 4 cawangan dalam bahagian itu serta menyatakan sokongan kepada bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Dalam pada itu, Shakirien berkata beliau adalah ketua bahagian PPBM Petaling Jaya yang sah selepas memenangi pemilihan parti yang diadakan pada Februari lalu.

Katanya, kemenangannya dalam barisan kepimpinan PPBM Petaling Jaya diiktiraf oleh pucuk kepimpinan pusat serta jawatankuasa pemilihan parti.

“Keputusan itu dikeluarkan dan ditandatangani oleh Syed Hamid Albar selaku pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dan Zulkifli Mohd Alwi selaku setiausaha JPP,” katanya.

Katanya, pengumuman 500 ahli keluar PPBM Petaling Jaya bukan kehendak ahli terbabit.

Menurutnya, pihak yang membuat kenyataan semalam hanya 15 orang.

“Ini bermakna hanya 15 orang saja keluar bukan 500 orang. Mengikut Perlembagaan parti fasal 10, mereka kena faham Perlembagaan kerana PPBM mempunyai Perlembagaan.

“Mereka tidak boleh sewenang-wenangnya mengumumkan seseorang ahli itu keluar,” katanya.

Shakirien berkata, mengikut Perlembagaan fasal 10 pemberhentian dan pemecatan ahli fasal 10.1, ahli yang hendak berhenti menjadi ahli parti hendaklah menyatakan kehendaknya secara bertulis kepada setiausaha agung PPBM

“Mereka yang keluar parti dan menyokong Mahathir adalah pendirian mereka sendiri secara individu tetapi jangan sesekali mengaku sebagai ketua bahagian kerana ini akan mengelirukan masyarakat serta ahli akar umbi.

“Kita mempunyai Perlembagaan parti, maka ikutlah Perlembagaan. Perlembagaan dibuat bukan untuk dipamer atau hanya semata-mata Perlembagaan,” katanya.