Siapa bertanding di mana belum timbul lagi, kata Zahid

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu juga belum mengenal pasti kawasan akan ditandingi. (Gambar Bernama)

TANJUNG MALIM: Barisan Nasional (BN) belum mengenal pasti calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak, kata pengerusinya Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid yang juga presiden UMNO berkata, parti itu juga belum mengenal pasti kawasan akan ditandingi.

“Belum ada keputusan dibuat, belum ada kawasan dikenal pasti. Jauh daripada mengenal pasti calon. Maka perkara itu (siapa bertanding di mana) belum timbul lagi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan jentera BN Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim dan penyerahan bahagian angkat hari ini.

Zahid mengulas kenyataan timbalan presiden Umno Mohamad Hasan ketika merasmikan mesyuarat Umno cawangan Sri Kota semalam yang mengumumkan akan bertanding di Parlimen Rembau pada PRU15 kelak.

Selain itu, Zahid juga berkata BN, UMNO, PAS dan PPBM sudah membentuk 1 jawatankuasa perunding bagi membincangkan agihan kerusi menjelang PRU akan datang.

“Apabila tiba masa, setelah penyelesaian peringkat parti masing-masing maka jawatankuasa ini akan duduk berbincang mengenai pembahagian kerusi dan hanya akan dimuktamadkan oleh presiden parti masing-masing,” katanya sambil menambah setakat ini belum ada perbincangan terperinci dibuat.

PRK Slim medan cari titik persamaan

Sementara itu, Zahid berkata PRK Slim akhir bulan ini perlu dijadikan sebagai medan untuk mencari titik persamaan dan kesepakatan antara BN, PAS serta PPBM.

Katanya, kesepakatan BN menerusi Umno bersama PAS dalam Muafakat Nasional terbukti menerusi beberapa PRK sebelum ini, manakala kerjasama dengan PPBM sebagai gabungan dalam Perikatan Nasional (PN) diterjemahkan buat julung kalinya ketika PRK DUN Chini, bulan lepas.

“Ada hikmahnya PRK ini. Titik persamaan akan menjadi keutamaan atau kebersamaan untuk menentukan kerjasama selama ini,” katanya.

Beliau berkata, PRK Slim tidak boleh dilihat dalam skop yang kecil, sebaliknya sebarang keputusan pada PRK itu 29 Ogos ini akan menjadi petunjuk jika PRU15 akan diadakan dalam masa terdekat.

Beliau juga optimis calon BN yang akan diumumkan pada 12 Ogos ini bakal mempertahankan kerusi DUN Slim dengan adanya sokongan daripada pengundi PAS dan PPBM yang sebelum ini menyokong wakil parti masing-masing ketika PRU14.

PRK DUN Slim akan diadakan berikutan kematian penyandangnya Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lepas yang semasa PRU14 menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon PPBM yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.