Tempat duduk blok Dr M dalam Dewan Rakyat akan diperkemas

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon berkata tempat duduk bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan 5 lagi ahli Parlimen yang bersama beliau berjauhan antara 1 sama lain.

BATU PAHAT: Tempat duduk Dr Mahathir Mohamad dan 5 lagi ahli Parlimen bebas di Dewan Rakyat akan disusun semula bagi membolehkan mereka berada dalam 1 blok, kata timbalan Speaker Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon.

Katanya, pada masa ini tempat duduk bekas perdana menteri itu dan 5 lagi ahli Parlimen yang bersama beliau berjauhan antara 1 sama lain, sekali gus menyukarkan kumpulan 6 ahli Parlimen bebas tersebut berbincang tentang isu dibangkitkan dalam mesyuarat.

“Jika kita perhatikan sekarang ini ahli Parlimen Langkawi (Mahathir) berada di bahagian depan dan kedudukannya dengan 5 lagi yang lain agak berjauhan.

“Jadi kita akan tempatkan semula mereka agar dapat duduk di 1 tempat yang berhampiran,” katanya pada sidang media selepas perasmian program Jom Kerja Parlimen Batu Pahat hari ini.

Mengulas lanjut, Rashid berkata ketika ini kumpulan 6 ahli Parlimen bebas tersebut didapati sering terlepas peluang untuk mengutarakan pandangan dengan sesi mesyuarat lazimnya dikuasai ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.