Timbalan ketua, 22 AJK PPBM bahagian Langkawi umum keluar parti

Timbalan ketua bahagian PPBM Langkawi Shukor Bahari berkata, sebanyak 16 cawangan PPBM bahagian itu yang melibatkan lebih 4,900 ahli turut terbubar secara automatik.

LANGKAWI: Timbalan ketua bahagian PPBM Langkawi Shukor Bahari mengumumkan peletakan jawatan dan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

Turut sama meletakkan jawatan dan keluar parti ialah 22 daripada 25 ahli jawatankuasa (AJK) PPBM bahagian itu.

Shukor berkata, susulan pengumuman itu, sebanyak 16 cawangan PPBM bahagian Langkawi yang melibatkan lebih 4,900 ahli turut terbubar secara automatik.

“Kami ahli PPBM Langkawi, atas dasar dan sejajar dengan matlamat perjuangan untuk menghapuskan salah guna kuasa, rasuah (kleptokrasi) dan membina kemakmuran Malaysia yang mengutamakan agama, bangsa dan negara adalah dengan ini sepakat untuk meletakkan segala jawatan dalam PPBM.

“Kami dengan rela hati tanpa ada paksaan mengisytiharkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta,” kata dalam sidang media khas pembubaran PPBM bahagian Langkawi di pusat khidmat ahli Parlimen Langkawi di sini, hari ini.

Turut hadir pada sidang media bagi mengumumkan peletakan jawatan dan keluar parti itu ialah Puteri Fataharyati Harun (setiausaha), Zamre Yahya (ketua penerangan) dan Azlina Mansor (ketua Srikandi).