Ambil kira pandangan akar umbi sebelum terima parti baru Dr M, gesa Pemuda PKR

Ahmad Syukri Ab Razak berkata, Pemuda PKR menghormati keputusan kumpulan Dr Mahathir Mohamad menubuhkan parti baru kerana Malaysia ialah negara demokrasi.

PETALING JAYA: Pemuda PKR menggesa pucuk pimpinan parti dan Pakatan Harapan (PH) mengambil kira pandangan akar umbi sebelum bekerjasama dengan parti baru yang akan ditubuhkan kumpulan Dr Mahathir Mohamad bagi mengelakkan kedudukan politik gabungan itu tidak stabil semula.

Setiausaha sayap itu, Ahmad Syukri Ab Razak menggesa PH berhati-hati dalam membuat keputusan bagi mengelakkan “luka lama berulang”.

“Kami menyeru kepimpinan PKR mengambil kira pandangan akar umbi sebelum membuat sesuatu keputusan, sama ada di peringkat PKR mahupun PH.

“Pemuda PKR percaya akar umbi masih terkesan dengan sikap yang ditunjukkan Mahathir terhadap janji peralihan kuasa sebelum ini,” katanya kepada FMT.

Jumaat lalu, Mahathir mengumumkan beliau akan menubuhkan parti baru berasaskan perjuangan membela orang Melayu susulan pertikaian dalaman PPBM dan pembatalan keahliannya bersama beberapa ahli Parlimen dari parti itu.

Bekas perdana menteri itu dilaporkan berkata, parti barunya tidak akan terikat kepada parti campuran lain, termasuk PH atau Perikatan Nasional, dan optimis ia mampu menjadi blok penentu kepada kemenangan PN dan PH dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

Syukri berkata, pihaknya menghormati keputusan kumpulan Mahathir menubuhkan parti baru kerana Malaysia ialah negara demokrasi.

“Pemuda PKR mengharap parti tersebut benar-benar berdiri atas gagasan ingin membawa reformasi sebenar terhadap sistem pentadbiran negara, tidak sekadar menjadi platform untuk menjayakan cita-cita politik individu tertentu.”

Jumaat lalu, Presiden PKR, Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, PH sedia mempertimbangkan penyertaan parti baru Mahathir dalam gabungan itu bagi menguatkan gerakan pembangkang, tetapi ia bergantung kepada permintaan kumpulan Mahathir jika mereka mahu menyertai PH semula.