Asap debu gunung berapi Sinabung dijangka masuk ruang udara Malaysia malam ini

Gunung berapi Sinabung meletuskan abu di Karo, Sumatera Utara hari ini. Sinabung merupakan salah satu daripada 120 gunung berapi aktif di Indonesia. (Gambar AP)

KUALA LUMPUR: Asap debu dari gunung berapi Sinabung di Sumatera, Indonesia yang meletus pada pukul 11.37 pagi tadi dijangka memasuki ruang udara negara di utara Selat Melaka dan negeri di utara serta timur Semenanjung bermula malam ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Jailan Simon berkata, asap debu letusan gunung berapi itu akan turut memasuki ruang udara negeri di timur Semenanjung, iaitu Perak, Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“Keadaan ini (asap debu) boleh menjejaskan operasi penerbangan pada paras 1,500 hingga 5,000 meter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata, orang ramai tidak perlu bimbang kerana ia dijangka tidak menjejaskan kualiti udara negara.

Ini adalah berdasarkan model trajektori HYSPLIT yang dijana MetMalaysia dan ramalan daripada Pusat Amaran Debu Gunung Berapi Serantau (VAAC) Darwin, Australia.

Beliau turut memaklumkan tiada kesan gempa bumi dan tsunami dijangka melanda negara akibat letusan gunung berapi itu dan keadaan semasa Indeks Pencemaran Udara (IPU) seluruh negara menunjukkan kualiti udara yang biasa, iaitu pada kadar baik dan sederhana.

Orang ramai dinasihatkan sentiasa peka dengan maklumat yang dikeluarkan oleh MetMalaysia melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial.