Berlari sambil dengar muzik ada manfaatnya tersendiri!

Berlari sambil mendengar muzik boleh membuatkan kita rasa lebih bersemangat. (Gambar Rawpixel)

Kelibat individu yang sedang berjoging sambil mendengar muzik menggunakan fon kepala satu pemandangan biasa.

Malah kajian yang dilakukan Runner’s World pada 2016 mendapati, 61% mengakui mendengar muzik sambil berlari bagi membuatkan mereka lebih fokus.

Manakala 82% pula memberitahu mereka akan mendengar lagu daripada penyanyi kegemaran.

Jika anda salah seorang daripadanya, ini beberapa manfaat yang diperolehi jika mendengar muzik sambil berlari.

1. Lebih bersemangat

Ada sesetengah individu yang melakukan aktiviti joging atau berlari sedang dalam persediaan menyertai marathon dan mendengar muzik boleh membuatkan mereka lebih bermotivasi.

Pakar Psikologi, Costas Karageorghis memberitahu, muzik dapat memberi pengaruh positif kepada atlet dan ia mampu meningkatkan stamina mereka.

“Muzik membangunkan perasaan positif seperti kebahagiaan dan keterujaan. Ia juga mengurangkan aspek negatif dalam badan seperti tekanan dan penat,” ujar Costas.

2. Larian lebih konsisten

Mendengar muzik boleh membuatkan seseorang berlari dengan lebih konsisten dan menjaga kecepatan larian mereka.

Kajian dilakukan oleh PLOS One, pelari menunjukkan prestasi lebih baik sambil mendengar lagu sesuai dengan tempo muzik dan langkah mereka.

3. Larian terasa “ringan”

Larian adalah aktiviti fizikal yang memenatkan dan memerlukan tenaga tetapi dengan mendengar muzik, ia boleh mengalihkan perhatian kita dan membuatkan larian berasa lebih “ringan”.

Kajian dilakukan oleh Universiti Keele, United Kingdom juga mendapati, mendengar lagu kegemaran ketika berlari dapat meningkatkan rasa ceria dan gembira.

Jadi, bagi yang merancang untuk bersenam itu, boleh mencuba kaedah berlari sambil mendengar muzik yang mampu mendatangkan pelbagai manfaat.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]