Biar Boustead Naval Shipyard selesaikan projek kapal tempur, kata Patriot

Sebuah kapal tempur pesisir pantai sama yang sepatutnya disiapkan Boustead Naval Shipyard. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kumpulan veteran polis dan tentera menggesa Putrajaya membiarkan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) menyelesaikan penghantaran 6 kapal tempur pesisir pantai (LCS), bukannya meminta sebuah syarikat Perancis mengambil alih.

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) bagaimanapun berkata, perkara itu mesti dilakukan di bawah pengawasan syarikat induk BNS, Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Presiden Patriot, Arshad Raji berkata tanggungjawab membina kapal tentera laut perlu kekal di bawah syarikat tempatan.

“Bukannya kita tidak ada jurutera dan pembuat kapal berkebolehan. Kita ada.

“Ambil orang yang tepat, termasuk mereka yang pernah bersama BHIC sejak permulaan projek LCS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 3 Ogos lalu, Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, 3 pilihan menjadi pertimbangan untuk menyelesaikan kelewatan penghantaran itu kerana tiada satu pun daripada 6 kapal terbabit yang selesai dibina BNS.

Beliau berkata, pilihan itu ialah meneruskan projek dengan melantik Naval Group France sebagai kontraktor penyelamat untuk membina sekurang-kurangnya 2 unit LCS, BNS dengan baki siling kontrak menyiapkan sekurang-kurangnya 2 unit LCS dan menamatkan kontrak dengan BNS.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat, kemajuan keseluruhan projek ialah 56.67% berbanding rancangan asal 85.73%, kelewatan sebanyak 29.06% atau 31.1 bulan.

Arshad berkata, ia sepatutnya “mudah tanpa masalah” bagi BNS untuk menyelesaikan pembinaan 6 kapal terbabit.

Katanya, BNS perlu dibenar meneruskan projek itu kerana reka bentuk kapal ialah prototaip.

“Jurutera reka bentuk kita bersama Perancis membinanya untuk kali pertama.

“Mengekalkan kontraktor di tangan Malaysia akan membantu dalam membentuk kecekapan.”

Namun, beliau berkata, pasukan projek sedia ada perlu diganti, manakala ahli lembaga BHIC terbabit perlu meletak jawatan atas kegagalan mereka menghantar kapal itu.

“Perniagaan membina kapal untuk tentera laut kita untuk profesional sebenar.”