Guan Eng mengaku tak bersalah berhubung projek terowong dasar laut

Lim Guan Eng yang ditemani isterinya Betty Chew dan anaknya Marcus (kanan) tiba di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini.

BUTTERWORTH: Bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan penyalahgunaan kuasa berhubung projek terowong dasar laut dan jalan utama bernilai RM6.3 bilion, beberapa hari selepas beliau didakwa meminta rasuah berkaitan projek sama.

Beliau didakwa menyalahgunakan kuasanya sebagai ketua menteri di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 untuk mendapatkan rasuah RM3.3 juta bagi melantik syarikat Zarul Ahmad Mohd Zulkifli melaksanakan projek itu.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu antara Januari 2011 hingga Ogos 2017 di pejabat ketua menteri di tingkat 28 Komtar.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dihukum penjara 20 tahun dan denda tidak lebih 5 kali ganda nilai suapan.

Lim, yang diwakili peguam Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh, RSN Rayer dan V Vemal Arasan, mengaku tidak bersalah di depan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar dan Francine Cheryl Rajendram.

Jumaat lalu, Lim didakwa meminta balasan berupa 10% keuntungan daripada Zarul yang juga pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, sebagai upah membantu syarikat itu dilantik melaksanakan projek berkenaan.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Hotel The Gardens di Kuala Lumpur pada Mac 2011.

Jika sabit kesalahan, beliau akan berdepan maksimum penjara 20 tahun dan denda sehingga 5 kali ganda nilai suapan.

Azhari membenarkan lanjutan ikat jamin RM1 juta daripada kes terdahulu dan permohonan pendakwaan memindahkan kes itu ke mahkamah Kuala Lumpur.

Ketua pendakwaan, Akram mengemukakan permohonan pemindahan kes itu kerana isu logistik.

Katanya, kebanyakan bukti salinan cetak berada di Putrajaya dan perbicaraan di Kuala Lumpur akan memudahkan Lim menghadiri sidang Dewan Rakyat sebagai ahli Parlimen Bagan.

Ketika penghujahan, Gobind yang merupakan ketua peguam pembelaan, berkata dakwaan terhadap Lim tidak jelas kerana kesalahan itu didakwa berlaku antara 2011 dan 2017 tanpa butiran khusus.

Akram yang meminta perintah larangan sementara (gag order) terhadap komen luaran ke atas kes itu, berkata ini tidak adil kerana kes itu ialah kepentingan awam.

Beliau merujuk laporan The Malaysian Insight memetik Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua dalam komen yang dianggap menghina prosiding mahkamah.

Beliau turut memetik satu video Facebook Live dimuat naik Pua yang mengulas merit kes itu.

Bagaimanapun, Gobind bertanyakan kenapa Akram tidak membangkitkan perkara itu ketika “pihak lain” mengulas pertuduhan rasuah Lim Jumaat lalu.

“Tambahan, mahkamah di Kuala Lumpur tidak mengeluarkan perintah larangan. Saya juga percaya jika seseorang melampaui komen adil dalam kenyataan mereka mengenai kes itu, mereka patut didakwa menghina (mahkamah).”

Sebutan kes itu ditetapkan pada 9 Sept di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.