Isu tuntutan hak minyak, gas di Sarawak tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Isu lain yang akan dibangkitkan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini termasuk penggunaan getah sebagai elemen utama dalam pembinaan jalan raya.

KUALA LUMPUR: Penyelesaian komersial dalam tuntutan hak minyak dan gas di Sarawak antara perkara yang bakal dibangkitkan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, isu itu terkandung dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan, di mana Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) bertanyakan perdana menteri mengenai usaha kerajaan mewujudkan jawatankuasa khas bagi meneruskan perbincangan untuk mendapatkan penyelesaian komersial itu.

Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-Kapar) pula bertanyakan menteri perdagangan antarabangsa dan industri mengenai garis panduan untuk syarikat yang mahu membuat pelaburan di dalam dan luar negara, tetapi masih terpalit isu bayaran pampasan.

Isu getah turut dibangkitkan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) yang meminta menteri perusahaan perladangan dan komoditi menyatakan usaha kerajaan memperluaskan penggunaan getah sebagai elemen utama dalam pembinaan jalan raya dan jika penggunaan getah dapat meningkatkan harga komoditi itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut dijadualkan menggulung perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos ini berpandukan kebiasaan baru dengan mematuhi SOP bagi mengekang penularan Covid-19.