Kes Covid-19 di India melonjak kepada 2,215,074, korban cecah 44,386

Majlis Penyelidikan Perubatan India (ICMR) mengatakan sebanyak 24,583,558 sampel diuji sehingga Ahad lepas. (Gambar AP)

NEW DELHI: Jumlah kes Covid-19 di India melonjak kepada 2,215,074, manakala angka korban juga meningkat menjadi 44,386, lapor agensi berita Xinhua berdasarkan data kementerian kesihatan persekutuan pada Isnin.

Sebanyak 62,064 lagi kes baru dicatatkan dan 1,007 kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Isnin, hari ke-11 berturut-turut lonjakan kes baru dilaporkan lebih daripada 50,000 dan hari ke-4 berturut-turut apabila lebih 60,000 kes direkodkan dalam sehari.

Menurut kementerian itu, pada masa ini 634,945 kes masih aktif, sementara 1,535,743 pesakit sembuh.

Kenaikan baru-baru ini dalam kes Covid-19, terutamanya disebabkan peningkatan ujian sampel di seluruh negara.

Sementara itu, Majlis Penyelidikan Perubatan India (ICMR) pada Isnin mengatakan sebanyak 24,583,558 sampel diuji sehingga kini pada Ahad.

Menurut ICMR, jumlah makmal sekarang ialah 1,406, iaitu 941 di sektor kerajaan dan 465 swasta.