NGO tidak dibenar masuk ke kawasan Temco, kata MB Kedah

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata, langkah tidak membenarkan NGO masuk ke kawasan Temco diambil bagi mengelak spenularan Covid-19.

JITRA: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak dibenarkan memasuki kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan secara bersasar (Temco) di negeri ini untuk menyampaikan bantuan kepada penduduk yang terjejas.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata, langkah itu bagi mengelak sebarang penularan Covid-19 dan tindakan boleh dikenakan kepada mana-mana pihak yang ingkar.

“Saya faham keprihatinan saudara-saudara yang bermurah hati membantu meringankan beban kita yang terbabit dengan Temco, tetapi (larangan ini) demi keselamatan semua orang,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Operasi Bantuan Temco di Pejabat Daerah Kubang Pasu, dekat sini hari ini.

Sanusi berkata, NGO yang berhasrat menyalurkan bantuan kepada penduduk di kawasan Temco boleh berbuat demikian menerusi Pejabat Daerah berkaitan yang dipertanggungjawabkan mengurus semua bentuk bantuan.

“Kita minta sumbangan itu dikumpulkan (misalnya) di PKOB (Pusat Kawalan Operasi Bencana) di Pejabat Daerah Kubang Pasu.

“Saya ucapkan terima kasih, hari ini banyak NGO yang datang menyampaikan sumbangan (pek makanan),” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, majikan di negeri ini tidak boleh mengambil sebarang tindakan terhadap pekerja mereka yang tinggal di kawasan Temco dan tidak hadir ke tempat kerja.

“MKN (Majlis Keselamatan Negara) sudah mengarahkan Kementerian Sumber Manusia mengeluarkan surat (kebenaran) dan pekerja ini boleh dapatkan surat itu di Pejabat Kesihatan Daerah atau Pejabat Daerah untuk diserahkan kepada majikan masing-masing,” katanya.

Pada 3 Ogos lepas, kerajaan mengumumkan pelaksanaan Temco di 4 kawasan, iaitu Mukim Ah, Mukim Hosba serta Mukim Binjal di daerah Kubang Pasu; Kampung Ulu, Padang Sanai di Padang Terap susulan penularan kes Covid-19 yang berpunca daripada kluster PUI Sivagangga.