OKT maut terjun bangunan mahkamah di Pulau Pinang

Ketua Polis Daerah Timur Laut Soffian Santong mengesahkan kejadian, namun enggan mengulas lanjut kerana sidang akhbar berhubung insiden itu akan dibuat esok. (Gambar Bernama)

GEORGE TOWN: Seorang lelaki Orang Kena Tuduh (OKT) yang dibawa ke mahkamah di sini untuk pendakwaan ditemui mati selepas disyaki terjun dari tingkat 5 bangunan berkenaan hari ini.

Mayat lelaki berusia 40an itu ditemui terbaring di aras bawah mahkamah pada kira-kira pukul 11.35 pagi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Soffian Santong ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu, namun enggan mengulas lanjut kerana sidang akhbar berhubung insiden itu akan dibuat oleh Ketua Polis Pulau Pinang Sahabudin Abd Manan esok.

Soffian berkata, pihaknya juga masih menjalankan siasatan lanjut serta terperinci berhubung kejadian itu.

Mayat lelaki berkenaan dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.