Pemuda Umno mahu parti guna lambang BN dalam PRU akan datang

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki (tengah) bercakap kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat exco pusat sayap itu di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR: Pemuda Umno cenderung untuk bertanding menggunakan lambang Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata ketuanya Asyraf Wajdi Dusuki.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco pusat sayap itu di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, beliau berkata, Pemuda Umno mencadangkan kepada pimpinan parti supaya bertanding menggunakan lambang BN dalam PRU ke-15.

“Kami percaya BN masih kuat dan dekat dengan rakyat,” katanya dengan menambah bahawa mereka mengalu-alukan parti lain seperti PAS dan PPBM supaya bertanding dengan menggunakan lambang BN.

Asyraf berkata, Pemuda Umno juga berharap persaingan 3 penjuru dielakkan pada pilihan raya akan datang.

Katanya, Pemuda Umno menyokong keputusan kepimpinan parti menolak untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) sebagai sebuah parti komponen.

“PN bukanlah sebuah parti berdaftar.”

Beliau berkata, kerajaan sekarang rapuh kerana ia hanya mendapat sokongan 111 ahli Parlimen sewaktu usul menggantikan speaker Dewan Rakyat sebelum ini.

Berhubung pilihan raya kecil (PRK) Slim, Asyraf berkata, Pemuda Umno mencadangkan nama ketua Pemuda Tanjung Malim, Zaidi Aziz sebagai calon.

Katanya, nama Zaidi dicadangkan bagi menarik pengundi muda.

Katanya, mereka telah membentuk jentera pilihan raya yang diketuai oleh ketua Pemuda Perak Ariff Abdul Majid untuk berkempen dalam PRK itu.

“Saya telah bermesyuarat dengan Pemuda MIC dan MCA berhubung gerakan itu dan turut mendapat sokongan Pemuda PPBM dan PAS. Kita akan lancarkan jentera pilihan raya pada hari penamaan calon (15 Ogos),” katanya.

Bercakap mengenai pilihan raya negeri (PRN) Sabah Asyraf berkata, Umno Sabah mempunyai autonomi untuk menentukan calonnya.

“Kita telah adakan mesyuarat dengan Pemuda Umno Sabah minggu lepas dan akan melancarkan jentera pilihan raya kami di Kundasang minggu ini,” katanya.