Penubuhan majlis khas semak MA63 di fasa akhir, kata timbalan menteri

Hanifah Taib berkata, majlis khas bagi menyemak MA63 ialah forum khusus untuk membincang dan memantau pelaksanaan MA63 dengan kerajaan Sabah serta Sarawak.

PETALING JAYA: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Hanifah Taib berkata kerajaan dalam fasa terakhir memuktamadkan komposisi penubuhan majlis khas bagi menyemak pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, perkara berhubung penubuhan majlis khas itu yang merupakan forum khusus untuk membincang dan memantau pelaksanaan MA63 dengan kerajaan Sabah serta Sarawak, akan dibawa ke Kabinet dalam masa terdekat.

“Berhubung status pelaksanaan 17 daripada 21 perkara yang dibentangkan dalam Jawatankuasa Khas MA63, secara umum agensi bertanggungjawab memerlukan tempoh satu hingga 2 tahun untuk melaksanakan keputusan tersebut.

“Baki 4 perkara lagi yang belum diselesaikan seperti bayaran royalti minyak, bayaran tunai petroleum, mineral minyak dan medan minyak serta Akta Wilayah dan Akta Pelantar Benua 1966 akan diteruskan majlis khas yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin serta dibarisi menteri Kabinet dan wakil kerajaan Sabah serta Sarawak,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) meminta Hanifah menyatakan usaha mewujudkan jawatankuasa khas bagi meneruskan perbincangan mengenai penyelesaian komersial dalam tuntutan hak minyak dan gas Sarawak.

Hanifah berkata, perdana menteri sudah memberi mandat kepada menteri kewangan dan menteri kerja raya untuk membincangkan isu minyak, gas dan pemberian khas dengan kerajaan Sarawak dan Petronas bagi mencapai penyelesaian komersial.

“Perbincangan dengan Sabah akan menyusul selepas ini,” katanya.