Petronas, TNB dapat penangguhan interim daripada bayar cukai RM5.4 bilion

Petronas dan TNB mahu mahkamah membuat keputusan sama ada ia perlu membayar cukai masing-masing berjumlah RM3.6 bilion dan RM1.8 bilion.

KUALA LUMPUR: Petronas dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) memperoleh perintah penangguhan interim daripada membayar cukai tertunggak berjumlah RM5.4 bilion sementara menunggu semakan kehakiman di hadapan 2 hakim Mahkamah Tinggi di sini.

Peguam S Saravana Kumar berkata, hakim Ahmad Kamal Md Shahid membenarkan penangguhan kepada syarikat minyak dan gas negara itu.

“Hakim menerima penghujahan kami bahawa semakan kehakiman hendaklah didengar dan diputuskan sebelum keputusan berhubung pembayaran dibuat,” katanya kepada FMT.

Saravana yang hadir bersama-sama peguam Rosli Dahlan berkata, Ahmad Kamal menetapkan 19 September depan untuk mendengar permohonan penangguhan bagi semakan kehakiman Petronas.

Pihak yang terkilan perlu mendapatkan penangguhan sebelum mahkamah boleh mendengar merit kes.

Petronas memfailkan tindakan itu bulan lepas selepas Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mendakwa syarikat berkenaan mengelak daripada membayar cukai berjumlah sehingga RM3.6 bilion antara 2010 dan 2017.

Dalam pada itu syarikat utili TNB juga terlepas daripada membayar RM1.8 bilion sementara menunggu keputusan semakan kehakiman di hadapan hakim Mariana Yahya.

Mahkamah akan mendengar permohonan penangguhan untuk semakan kehakiman pada 21 September.

Saravana berkata, THB membawa kes ke mahkamah kerana LHDN berpendapat klien beliau tidak layak mendapat tuntutan pelaburan semula kerana ia tidak mengeluarkan produk, tetapi hanya merupakan penyedia perkhidmatan.

Peguam itu berkata, penghakiman Mahkamah Persekutuan menetapkan bahawa TNB merupakan pengeluar tenaga.

LHDN diwakili oleh Nazlina Hussein dalam kedua-dua kes.