Zahid mengaku tidak bersalah atas 14 tuduhan pindaan

Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, 8 rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan dana milik Yayasan Akalbudi.

KUALA LUMPUR: Bekas timbalan perdana menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini terhadap 12 pertuduhan pindaan bagi kes pecah amanah dan 2 pertuduhan pindaan rasuah membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Collin Lawrence Sequerah mengarahkan pertuduhan pindaan dibacakan kepada Zahid, 67, selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk meminda 14 pertuduhan tersebut.

Pertuduhan pindaan itu membabitkan penambahan satu perkataan iaitu “penguasaan” dalam pertuduhan pecah amanah pertama hingga 10 serta 19 dan 20 serta membuang perkataan “penambahan” dalam pertuduhan rasuah ke-14 dan 15.

Mengikut 12 pertuduhan pindaan, Zahid sebagai pemegang amanah Yayasan Akalbudi yang diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta itu milik yayasan berkenaan, didakwa melakukan pecah amanah wang berjumlah RM31 juta milik yayasan tersebut di Affin Bank Bhd cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India, di sini, antara 13 Jan 2014 dan 23 Dis 2016.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebatan dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan rasuah pula, Zahid didakwa menerima rasuah daripada pengarah Data Sonic Group Berhad, sebagai upah bagi dirinya sebagai penjawat awam, iaitu menteri dalam negeri ketika itu, dan oleh sebab itu, syarikat itu dilantik bagi melaksanakan perolehan pembekalan cip pasport untuk tempoh 5 tahun.

Ahli Parlimen Bagan Datuk didakwa melakukan kesalahan tersebut di Maybank cawangan Dataran Maybank, Jalan Maarof, Bangsar di sini, pada 26 April 2017.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada 5 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Zahid berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan pindaan tersebut kerana pemakluman mengenai pindaan itu agak lambat.

“Kami terkejut dan ia hanya dimaklumkan kepada kami pagi ini. Kami tidak bersetuju dengan permohonan ini …pada masa yang sama kami ingin memaklumkan kepada mahkamah bahawa kami mahu hak kami di bawah Seksyen 162 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) untuk memanggil saksi, diiktiraf. Kami serahkan kepada mahkamah,” katanya.

Timbalan pendakwa raya Raja Rozela Raja Toran berkata, pindaan terhadap pertuduhan itu tidak akan memberi kesan sehingga boleh mengubah ciri kesalahan itu.

“Tidak akan timbul soal prejudis kerana pertuduhan yang dipinda itu hanya pindaan kecil sahaja,” katanya.

Zahid berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, 8 rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan hakim Sequerah bersambung esok.