Harga siling pelitup muka antara isu dibincang Dewan Rakyat

Harga maksimum pelitup muka 3 lapis yang berharga 80 sen sekeping, meningkat kepada RM1.50 dan akan diturunkan kepada RM1.20 berkuatkuasa 15 Ogos ini.

KUALA LUMPUR: Isu harga siling pelitup muka antara perkara yang bakal dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, isu itu terkandung dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan yang diajukan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) kepada menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna.

Chong bertanyakan rasional Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menaikkan harga maksimum pelitup muka 3 lapis daripada 80 sen sekeping kepada RM1.50 sekeping.

Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan) akan bertanyakan menteri dalam negeri mengenai jumlah kanak-kanak di bawah 18 tahun di Sekolah Henry Gurney dan tahanan imigresen secara terperinci mengikut lokasi pusat tahanan, tahanan imigresen serta pecahan kewarganegaraan mereka.

Beliau turut bertanyakan langkah Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menangani isu kanak-kanak dalam tahanan imigresen.

Sementara itu, Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) pula akan mengajukan soalan kepada menteri pelancongan, seni dan budaya mengenai langkah atau program jangka pendek dari segi “upskilling” (peningkatan kemahiran) dan “reskilling” (pengambilan semula) pekerja dalam industri pelancongan yang terkesan oleh Covid-19.

Isu kualiti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) turut dibangkitkan Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) yang meminta menteri pendidikan menyatakan langkah dan inisiatif kementerian itu dalam menjaga dan meningkatkan kualiti PISMP supaya standard pengajaran guru sentiasa di tahap cemerlang.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baru dengan mematuhi SOP bagi mengekang penularan Covid-19.