Kumpulan akan saman lelaki jadi pencetus kluster Sivagangga

Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah, Mohd Yusrizal Yusoff.

ALOR SETAR: Sebuah kumpulan pengguna dan beberapa NGO di Kedah bercadang menyaman pemilik sebuah restoran nasi kandar yang dikatakan pihak berkuasa sebagai punca berlakunya kluster Sivagangga Covid-19.

“Tindakan undang-undang terhadap beliau akan menjadi peringatan kepada orang lain supaya tidak mengambil mudah perintah kuarantin Covid-19,” kata Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohd Yusrizal Yusoff kepada FMT.

Beliau berkata, CAKE memutuskan untuk mengetuai tindakan sivil itu, yang akan disertai sekurang-kurangnya 5 NGO lain dan beberapa pemilik perniagaan.

Katanya, mereka sudah berbincang dengan peguam untuk mendraf saman itu.

Menurut Kementerian Kesihatan, kluster Sivagangga bermula di Napoh, Kubang Pasu, selepas seorang warga India dengan status penduduk tetap di Malaysia melanggar perintah kuarantin sekembalinya dari Sivagangga, sebuah pekan di Tamil Nadu.

Lelaki berusia 57 tahun itu, yang memiliki Restoran Nasi Kandar Salleh, dilihat berada di premisnya ketika Hari Raya Haji dengan memakai gelang merah jambu di pergelangan tangan kirinya. Seorang pengguna internet memuat naik gambarnya di Facebook dan pihak berkuasa kemudiannya mengesan lonjakan kes Covid-19.

“Saya rasa denda RM1,000 untuknya sekadar tamparan di pergelangan tangan. Kami mahu mengheret lelaki ini ke mahkamah kerana beliau menyebabkan semua orang Kedah menderita,” kata Yusrizal.

Empat mukim di Kubang Pasu kini di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan secara pentadbiran (TEMCO).

Kluster Sivagangga kini merebak merentasi 3 generasi, dengan pihak berkuasa kesihatan berkata, ia mungkin berasal daripada koronavirus “super-spreading” dari Mesir.

Semalam, kerajaan Kedah mengarahkan Restoran Nasi Kandar Salleh ditutup dan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia akan ditutup sehingga TEMCO berakhir 30 Ogos ini.

Katanya, negeri itu masih mempertimbangkan pembatalan lesen perniagaannya.

Setakat semalam, terdapat 132 kes Covid-19 di Kedah, dengan hampir separuh membabitkan kluster Sivagangga. Virus daripada kluster itu dilaporkan menular ke Perlis dan Seberang Perai di Pulau Pinang.

Pulau Pinang dan Perlis masing-masing mencatatkan 125 serta 30 kes Covid-19 setakat ini.