MB Perlis perjelas langkah kerajaan negeri isytihar Temco

Kerajaan Perlis menerusi kenyataan dikeluarkan pada 8 Ogos mengumumkan Temco dilaksana di Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul di Kuala Sanglang bermula 10 malam 8 Ogos hingga 4 September. (Gambar Bernama)

KANGAR: Menteri Besar Perlis Azlan Man memberi penjelasan berhubung langkah kerajaan negeri mengisytiharkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan bersasar (Temco) mendahului kerajaan pusat.

Beliau berkata, kerajaan negeri menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perlis membuat perakuan kepada urus setia MKN peringkat persekutuan terlebih dulu supaya Temco dilaksana serta-merta bagi membendung penularan wabak Covid-19 daripada kluster Sivagangga.

“Saranan itu dibuat berdasarkan keadaan penularan wabak Covid-19 ketika ini dan rakyat sendiri mahu ia dilakukan segera,” katanya kepada pemberita hari ini.

Kerajaan Perlis, menerusi kenyataan dikeluarkan pada 8 Ogos mengumumkan Temco dilaksana di Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul di Kuala Sanglang bermula 10 malam 8 Ogos hingga 4 September.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Temco di 2 kampung itu dikuat kuasa dari 10 Ogos hingga 31 Ogos dengan beliau mengakui terdapat sedikit kekeliruan apabila kerajaan negeri mengumumkan Temco di lokaliti negeri mendahului kerajaan persekutuan.

Ismail juga mengingatkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) adalah bawah kerajaan persekutuan dan perlu dipatuhi semua kerajaan negeri kecuali Sarawak.