Nazri Aziz minta kerajaan tarik balik RUU IPCMC

Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz berkata jika kerajaan mahu membuat Rang Undag-Undang (RUU) khusus untuk polis, beliau meminta mengadakan suruhanjaya untuk badan penguatkuasaan lain seperti imigresen, kastam, dan Jabatan Pengangkutan Jalan.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen BN Nazri Aziz hari ini meminta kerajaan menarik balik Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC)
kerana menyifatkan ia sebagai agenda kerajaan terdahulu.

Beliau berkata, ia bukan agenda kerajaan masa ini.

Nazri (BN-Padang Rengas) berkata, terdapat banyak hujah tidak menyokong pelaksanaan IPCMC.

“Ya betul agenda PH. Tetapi sekarang ini sudah jadi kerajaan PN. Di dalam PN saya mewakili Umno, dan kita dari dulu tak sokong IPCMC.

Nazri Aziz

“Saya ingin nyatakan kita dalam PN dan saya selaku ahli Parlimen minta digugurkan RUU IPCMC yang disenarai sebagai no 7,” katanya ketika membahaskan RUU Perbekalan Tambahan di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu Ramli Mohd Noor (BN-Cameron Highlands) bertanya kepada Nazri apakah IPCMC tidak mengikut Perlembagaan.

Nazri bersetuju undang-undang perlu dipinda dan PH memerlukan 2/3 majoriti untuk meminda undang-undang itu.

Mengulas lanjut, Nazri berkata jika kerajaan mahu membuat 1 RUU khusus untuk polis, beliau meminta mengadakan suruhanjaya untuk badan penguatkuasaan lain seperti imigresen, kastam, dan Jabatan Pengangkutan Jalan.

“Barulah adil (untuk semua agensi penguatkuasaan). Kalau ini tidak dilakukan ini merupakan 1 bentuk penganiayaan kepada polis yang jalankan tugas dengan baik sekali,” katanya.