Penguatkuasa lain mungkin terbabit lindung premis haram, kata SPRM

Ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki tidak menolak kemungkinan anggota penguatkuasa lain turut terbabit melindungi premis haram.

PUTRAJAYA: Selepas penahanan penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berkaitan kes melindungi premis perniagaan tanpa lesen di Sungai Buloh, ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki tidak menolak kemungkinan anggota penguatkuasa lain turut terbabit.

“Mana-mana pihak yang terlibat kami (SPRM) akan siasat. Setakat ini penguatkuasa MBSA dan mungkin ada lagi. Wallahualam,” katanya.

Ditemui pemberita selepas melancarkan program SPRM PUBG Mobile i-Challenge hari ini, Azam turut meminta semua pihak bersabar supaya SPRM dapat menjalankan tindakan penguatkuasaan di bawah bidang kuasanya.

Timbalan ketua pesuruhjaya (Operasi) SPRM Ahmad Khusairi Yahaya hari ini mengesahkan 3 pegawai penguatkuasa MBSA ditahan kerana disyaki mengutip dan menerima rasuah secara bulanan bagi melindungi premis perniagaan tanpa lesen di Sungai Buloh.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 2 pegawai penguatkuasa MBSA cawangan Sungai Buloh dan seorang dari MBSA Shah Alam, berumur antara 41 hingga 49 tahun, ditahan di ibu pejabat SPRM Putrajaya, selepas dipanggil memberi keterangan pada 9 pagi tadi.

Azam berkata, SPRM menerima maklumat di seluruh negara berhubung kegiatan seperti perjudian dan rumah urut yang dilindungi pihak penguatkuasa.

“Namun demikian dalam kita nak menyiasat kes-kes rasuah, kita perlukan bukti dan sokongan daripada keterangan saksi,” katanya turut mengucapkan terima kasih kepada pemberi maklumat atau pengadu kerana berani tampil memberi kerjasama kepada SPRM dalam membanteras kegiatan rasuah.

SPRM berat sebelah

Mengulas dakwaan bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa SPRM berat sebelah dalam menyiasat kesnya berbanding bekas perdana menteri Najib Razak, Azam berkata : “Kami (SPRM) tidak ada berat-sebelah pada mana-mana pihak. Kami menjalankan tugas seperti biasa, secara telus dan profesional.”

Mengenai dakwaan Lim yang dia perlu memakai baju lokap SPRM, Azam berkata pengunaan baju lokap berwarna oren terhadap individu adalah di bawah budi bicara pegawai penjaga lokap dan pegawai penyiasat.

Pada 8 Ogos lepas, Lim menerusi laman Facebook berkongsi pengalaman ditahan dalam lokap SPRM sebelum didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur serta mendakwa dirinya tidak bernasib baik seperti menteri kewangan sebelumnya iaitu Najib ketika ditahan SPRM berhubung kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd.

Ditanya sama ada individu lain akan didakwa berhubung kes rasuah melibatkan Lim yang membabitkan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang, Azam berkata: “Setakat ini, mereka yang terlibat dalam kes itu telah dituduh di mahkamah.”