Polis teliti maklumat anggota lindungi premis judi di Sg Buloh

Zamri Yahya berkata, tindakan tatatertib akan dikenakan kepada anggota atau pegawai polis yang menyeleweng dan melindungi sindiket perjudian, manakala mereka yang menerima rasuah akan diserahkan kepada SPRM.

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan menerima maklumat segelintir anggota dan pegawainya disyaki melindungi premis perjudian haram di sekitar Sungai Buloh, kata Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Zamri Yahya.

Beliau berkata, pihaknya sedang meneliti maklumat diterima, termasuk premis perjudian yang ada di sekitar Sungai Buloh, serbuan dan rampasan perjudian dijalankan serta beberapa isu berkaitan.

“Jika terbukti ada pegawai dan anggota polis terlibat dalam penyelewengan tugas dan melindungi sindiket berkenaan, maka tindakan tatatertib keras akan dikenakan kepada mereka.

“Sekiranya ada pegawai dan anggota polis menerima rasuah, ia akan dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada Bernama semalam.

Semalam, SPRM dilaporkan akan menyiasat dakwaan pihak berkuasa cuba melindungi premis haram, perjudian dan penjualan rokok seludup di sekitar Sungai Buloh.

Ia susulan penyebaran video di Facebook “Hot Burger Malaysia” dan dikongsi akaun Mohd Asri Hamid, 42, atau dikenali sebagai “Asri Janggut” yang mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes perjudian serta mendedahkan lokasi perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Shafa’aton Abu Bakar menafikan dakwaan itu dan berkata polis sudah membuka kertas siasatan serta akan memanggil pengguna laman sosial terbabit untuk memberi keterangan.