PUNB tawar diskaun 50% pembayaran sewa premis perniagaan

KUALA LUMPUR: Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) menawarkan diskaun sebanyak 50% untuk pembayaran sewa premis perniagaan milik agensi itu bermula Oktober hingga Disember 2020.

Pengerusi Noh Omar berkata seramai 220 penyewa akan menerima manfaat daripada tawaran tersebut melibatkan jumlah kutipan sebanyak RM1.3 juta.

“Dalam tempoh April hingga September, PUNB memberikan pengecualian pembayaran sewa premis perniagaan kepada usahawan sebanyak RM5.3 juta.

“Justeru, inisiatif ini diberikan bagi meringankan beban usahawan yang terjejas akibat pandemik Covid-19,” katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan di premis perniagaan milik PUNB di Pusat Industri Seri Rampai hari ini.

Noh berkata usahawan boleh membuat rayuan untuk mendapat lebih banyak pengurangan bagi pembayaran sewa premis perniagaan sekiranya perniagaan mereka terjejas teruk akibat pandemik itu.

“PUNB boleh mempertimbangkan rayuan pengurangan lebih 50% kadar sewa itu jika usahawan tersebut benar-benar terjejas akibat Covid-19 dengan syarat mempunyai rekod bayaran yang bagus,” katanya.

Sementara itu, Noh berkata PUNB akan memperkenalkan Skim Pembiayaaan Sewa Beli Premis kepada semua usahawan Bumiputera yang berhasrat untuk memiliki aset bagi mengembangkan perniagaan.

Katanya, skim ini untuk membantu usahawan memiliki premis melalui aset PUNB, pembelian premis pihak luar serta pembelian premis baharu dengan nilai minimum RM500,000.

“Oleh itu, mana-mana penyewa yang hari ini menyewa di 222 premis milik PUNB, kita akan beri tawaran untuk mereka memiliki terus premis tersebut.

“Apabila usahawan bersetuju untuk ambil alih aset PUNB, sewa yang dibayar setiap bulan itu akan dianggap sebagai bayaran ansuran harga premis,” katanya.

Bagi pembelian premis pihak luar dan premis baharu, Noh berkata usahawan boleh mengemukakan permohonan kepada PUNB untuk membeli premis tersebut dan mereka boleh terus menyewa kepada PUNB sehingga memiliki aset tersebut.