Sarawak lanjut sekatan penerbangan hingga 31 Ogos

Sekatan penerbangan ke Sarawak sepatutnya berakhir pada 14 Ogos. (Bernama pic)

KUCHING: Sarawak akan melanjutkan tempoh pengurangan jumlah penerbangan yang dibenarkan ke negeri ini hingga 31 Ogos untuk mengekang penyebaran Covid-19.

Ia susulan keputusan sebelumnya oleh jawatankuasa pengurusan bencana Sarawak untuk menyekat jumlah penerbangan ke negeri ini bagi tempoh 1 hingga 14 Ogos selepas peningkatan kes Covid-19 di negeri itu bulan lalu.

Pengerusi jawatankuasa Douglas Uggah Embas sebelum ini dilaporkan berkata, kekerapan penerbangan Malaysia Airlines antara Kuala Lumpur dan Sibu dikurangkan dari 3 kali kepada sekali seminggu manakala penerbangan Kuala Lumpur-Bintulu dikurangkan kepada 2 kali dari 3 kali seminggu.

Penerbangan mingguan AirAsia antara Kuala Lumpur dan Kuching dikurangkan dari 56 kepada 14; antara Kuching dan Bintulu, dari 21 kepada 7; antara Kuching dan Miri, dari 21 kepada 7; antara Kuching dan Kota Kinabalu, dari 14 kepada 7; dan antara Kuching dan Johor, 14 kepada 7.

Penerbangan mingguan syarikat penerbangan tambang murah antara Sibu dan Kuala Lumpur dikurangkan dari 21 kepada 4; antara Sibu dan Johor Bahru, dari 7 kepada 4; antara Bintulu dan Kuala Lumpur, dari 14 kepada 7; antara Miri dan Kuala Lumpur, dari 21 kepada 7; antara Miri dan Kota Kinabalu, dari 10 kepada 5; dan antara Miri dan Johor Bahru, dari 3 kepada 2.

Sementara itu, pada sidang media hari ini, Uggah berkata rakyat dari semenanjung, Sabah dan Labuan yang masuk ke Sarawak mesti menjalani pemeriksaan Covid-19 wajib di pintu masuk utama negeri ini.

“Namun, bagi mereka yang melakukan perjalanan ke Bintulu, Miri dan Sibu, penyaringan akan dilakukan di hotel masing-masing. Perintah ini akan berkuatkuasa hingga 31 Ogos,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang destinasi terakhir adalah di kawasan luar bandar dan terletak jauh dari klinik kesihatan kerajaan, perlu menjalani kuarantina di hotel yang ditentukan.

“Mereka bebas untuk pergi jika keputusannya negatif. Perintah ini juga akan dilanjutkan hingga 31 Ogos.

“Namun, bagi yang berada di bawah perkhidmatan penting atau dengan surat daripada ketua jabatan dan majikan mereka boleh mengajukan permohonan kepada jawatankuasa dalam talian (melalui EnterSarawak) untuk dikecualikan daripada perintah kuarantin,” katanya.

Terdahulu, Uggah berkata Samarahan dan Lundu diisytiharkan sebagai zon hijau Covid-19 selepas tidak mencatatkan kes positif sekurang-kurangnya dalam tempoh 14 hari.

Sebanyak 38 daerah di negeri ini kini diisytiharkan sebagai zon hijau (tidak ada kes) dan 2 (Kuching dan Serian) diklasifikasikan sebagai zon kuning (1 hingga 40 kes).

Sarawak mencatatkan keseluruhan 681 kes Covid-19 sehingga hari ini. Jumlah kematian di negeri ini kekal 19 orang.