Selepas ‘Anak Kampung’ kini ‘Macam Di KK’ pula mahu bertanding PRN

Janrywine J Lusin yang popular dengan lagu ‘Macam Di KK’ menyatakan hasrat bertanding pada PRN jika ada parti yang mahu memberinya peluang.

KOTA KINABALU: Selepas penyanyi ‘Anak Kampung’, Jimmy Palikat mahu bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, seorang lagi selebriti di Sabah, Janrywine J Lusin turut menyatakan hasrat sama.

Penyanyi yang popular dengan lagu ‘Macam Di KK’ itu ketika dihubungi FMT berkata, beliau menawar diri untuk bertanding jika ada parti yang mahu mengambilnya sebagai calon.

“Saya bersetuju untuk bertanding jika ada parti yang mahu mengambil saya sebagai calon, namun mereka perlu menerima saya sebagai wakil anak seni kerana misi utama saya untuk memperjuangkan nasib artis tempatan.

“Kalau ada parti yang bersetuju, saya memilih untuk dicalonkan di kerusi DUN Kawang, di Papar, sebab kampung saya. Kalau tidak pun kerusi baru DUN Limbahau, juga di Papar,” katanya.

Janrywine yang juga Presiden Pertubuhan Orang Seni Tempatan Sabah (Post’s) berkata, idea untuk membela nasib artis Sabah menerusi perjuangan politik timbul selepas merasai kesukaran yang terpaksa berjuang sendiri dalam industri itu.

“Artis tempatan tidak mendapat pembelaan sewajarya, malah berdepan pelbagai kekangan untuk mengembangkan kerjaya seni masing-masing disebabkan birokrasi pentadbiran.

“Contohnya, kalau kita memohon lesen hiburan perlu melalui Kementerian Dalam Negeri. Kementerian yang menjaga industri hiburan tidak dapat membantu dari segi memudahkan urusan,” katanya.

Katanya, pandemik Covid-19 yang melanda termasuk di Sabah turut menyebabkan ramai artis tempatan terjejas teruk dan hilang punca pendapatan.

“Ramai artis tempatan tak dapat cari makan. Jadi, kalau ada 1 kementerian khusus berkaitan seni yang bantu dalam semua aspek keperluan artis, saya percaya masalah artis dapat dibela.

“Saya juga mahu sebuah kementerian khas diwujudkan untuk bidang seni, ia bukan saja untuk membela nasib artis, malah supaya kita dapat memelihara, membentuk dan memperkasa identiti bangsa kita di mata dunia,” katanya.

Janrywine berkata, sekiranya tidak dicalonkan pada PRN nanti, beliau berharap selepas ini ada artis Sabah dilantik sebagai ahli Dewan Negara atau Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang dikhaskan untuk golongan artis.

Katanya, Sabah melahirkan ramai artis berbakat bukan saja untuk industri hiburan di negeri itu malah di peringkat kebangsaan.

Terdahulu, Jimmy turut menyatakan hasrat bertanding pada PRN akan datang dengan kawasan pilihannya adalah di Tambunan.

Sekiranya Jimmy dan Janrywine benar-benar bertanding, ia bukan kali pertama seorang selebriti menjadi calon pilihan raya di Sabah.

Pada Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU11) lalu, penyanyi, pelakon dan pelawak, Abu Bakar Ellah atau lebih dikenali sebagai Ampal pernah bertanding di DUN Kuamut sebagai calon bebas.

Bagaimanapun beliau tewas dalam persaingan 5 penjuru di kawasan berkenaan ketika itu.