Speaker, timbalan mohon batal saman Dr M cabar pelantikan

Azhar Harun dilantik sebagai speaker Dewan Rakyat pada 13 Julai lalu. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula Dr Mahathir Mohamad dan 4 individu lain mencabar pelantikannya dan Timbalannya, Azalina Othman Said.

Seorang lagi Timbalan Speaker, Rashid Hasnon, yang memegang jawatan itu sejak Pakatan Harapan (PH) berkuasa pada 2018, turut mengambil tindakan sama.

Dalam permohonan mereka yang difailkan melalui Tetuan Amer Bon pada Jumaat lalu dan dilihat FMT, mereka berkata mahkamah tiada bidang kuasa untuk mendengar dan menentukan perkara itu.

Mereka berkata, Perkara 63(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan prosiding Dewan Rakyat tidak boleh dicabar di mahkamah.

Katanya, dakwaan yang dikemukakan plaintif itu ialah perkara untuk ditentukan Parlimen.

Azalina dan Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin, yang turut dinamakan sebagai defendan, dijangka memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu juga.

Pagi tadi, pengurusan kes diadakan melalui e-Review atau sidang video, di mana Hakim Mahkamah Tinggi, Ahmad Kamal Md Shahid mengarahkan pihak terbabit tampil di mahkamah pada Khamis untuk arahan lanjut.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali mewakili Mahathir (ahli Parlimen Langkawi), Mukhriz Mahathir (Jerlun), Maszlee Malik (Simpang Renggam), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Shahruddin Md Salleh (Sri Gading).

Peguam Hoe Sue Lu mewakili Azhar dan Hasnor, manakala peguam Syazwani Mohd Zawawi mewakili Azalina serta Nizam.

Plaintif itu, yang memohon pengisytiharan untuk kerusi speaker masih kosong sejak 13 Julai, berkata pelantikan Azhar dan Azalina tidak berperlembagaan melanggar Perkara 57 Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan 3, 4, 6 serta 47 Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Mereka berkata, notis 14 hari perlu diberikan kepada ahli Parlimen untuk mencadangkan nama selepas jawatan speaker dan timbalan dikosongkan.

Katanya, pelantikan itu perlu melalui proses pencalonan, perbahasan dan undian untuk pelantikan itu lengkap serta sah.

Mahathir, yang mengesahkan satu afidavit menyokong saman pemula itu, berkata keputusan Rashid untuk hanya mempunyai satu nama bagi jawatan speaker tidak sah kerana ahli Parlimen tidak diberikan peluang mencadangkan nama lain dalam tempoh 14 hari, di mana satu sesi perlu diadakan untuk pelantikan itu.

Katanya, tindakan Nizam memanggil nama Azhar untuk mengambil tempat speaker bertentangan Perlembagaan dan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Beliau berkata, keputusan Azhar hanya ada satu nama bagi jawatan timbalan speaker berbatal dan tidak sah kerana ahli Parlimen tidak diberikan peluang untuk mencalonkan nama lain.

Mahathir, yang juga perdana menteri di bawah kerajaan PH, berkata beliau dinasihatkan peguamnya yang Mahkamah Tinggi boleh mendengar dan melupuskan perkara itu di bawah Perkara 121 Perlembagaan.

Katanya, pelantikan Azhar dan Azalina tidak sah kerana prosiding itu sendiri melanggar Perlembagaan.

Pada 13 Julai lalu, satu usul menyingkirkan Mohamad Ariff Md Yusof sebagai speaker diluluskan dengan majoriti tipis, di mana 111 ahli Parlimen kerajaan menyokong dan 109 wakil rakyat membantah.

Keputusan itu diumumkan Rashid.

Azalina menggantikan Nga Kor Ming yang meletak jawatan timbalan speaker sebagai tanda solidariti dengan Ariff.