Tiada siapa peduli Azmin, Zuraida di Sabah, kata penganalisis

Penganalisis politik, Rahezzal Shah Abd Karim berkata, Azmin Ali atau Zuraida Kamaruddin tidak mempunyai nama besar di Sabah dan jika kehadiran mereka bertujuan meraih undi, ia tidak akan mengubah apa-apa.

KOTA KINABALU: Penganalisis politik berkata, “tiada siapa” peduli kehadiran Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, susulan lawatan kerja 2 menteri persekutuan itu ke Sabah baru-baru ini.

Pensyarah Universiti Teknologi Mara Sabah, Rahezzal Shah Abd Karim berkata, kehadiran 2 bekas pemimpin PKR itu tidak memberi impak kepada keadaan politik di Sabah atau kelebihan kepada mana-mana pihak.

“Ini kerana, kita pun tidak pasti mereka kini bersama PPBM atau apa status mereka sekarang?” katanya kepada FMT berhubung pertemuan Azmin dengan pemimpin tertinggi PPBM Sabah hujung minggu lalu.

Rahezzal Shah Abd Karim

Rahezzal berkata, Azmin atau Zuraida bukan pemimpin politik yang mempunyai nama besar di Sabah dan jika kehadiran mereka bertujuan meraih undi, ia tidak akan mengubah apa-apa.

“Kita tahu dia (Azmin) pernah datang ke Sabah berkempen untuk PH (Pakatan Harapan) pada Pilihan Raya Kecil Kimanis dulu, tetapi mereka tidak menarik tumpuan.

“Kebanyakan orang yang hadir ketika beliau berkempen dulu hanyalah penyokong setianya, selain sudah pasti kerana jawatannya sebagai menteri, itu saja.

“Bagi saya, tiada yang ambil peduli dengan kehadiran mereka (di Sabah), walaupun mereka terlibat dalam langkah Sheraton sebelum ini, tidak ramai orang Sabah yang tahu pasal mereka.

“Rakyat mungkin tahu Azmin adalah salah seorang yang memainkan peranan dalam langkah Sheraton, tetapi secara amnya di Sabah, saya fikir orang tidak begitu peduli dengan kehadirannya di sini.”

Sementara itu, pensyarah dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Lee Kuok Tiung sependapat kehadiran Azmin dan Zuraida tidak memberi impak di Sabah.

“Kita tidak dapat nafikan dengan PRN yang bakal berlangsung, ramai pemimpin politik dari Semenanjung akan datang ke Sabah untuk membantu rakan-rakan mereka berkempen.

”Namun, apa yang saya khuatiri ialah PRN Sabah akan menjadi percakaran politik Semenanjung di sini, walhal sepatutnya isu-isu prioriti Sabah yang harus dijadikan keutamaan ataupun fokus kepada PRN negeri ini nanti.

”Agenda politik Semenanjung haruslah dibiarkan di seberang laut sana dan isu-isu setempat atau Sabah, khususnya hak Sabah dan pembangunan sosio ekonomi negeri ini yang seharusnya menjadi fokus PRN kali ini.”

Katanya, dari segi populariti di Sabah, Azmin dan Zuraida jauh ketinggalan berbanding pemimpin besar lain.

“Kalau ‘Bossku’ (Najib Razak) lain sikit sebab dia berpengaruh di media sosial, apatah lagi kebelakangan ini dia sudah mula berkempen untuk PRN Sabah menerusi platform media sosial, itulah yang membezakannya dengan Azmin serta Zuraida.”