2 tak patuh SOP kuarantin rumah, 182 ditahan ingkar PKPP

PETALING JAYA: Dua individu dikenakan tindakan kerana gagal mematuhi SOP kuarantin rumah, manakala 182 lagi ditahan polis akibat mengingkari arahan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, 18 daripada 182 individu itu direman, 2 dibebaskan dengan jaminan polis dan 162 lagi dikompaun.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk aktiviti karaoke tanpa lesen (11), aktiviti tidak mengikuti SOP (36), tidak memakai pelitup muka (17), aktiviti menyukarkan penjarakan fizikal (100) serta melanggar perintah kuarantin (2),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail berkata, seramai 9,984 individu yang pulang ke tanah air ditempatkan di 61 hotel dan 5 institut latihan awam di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Sarawak, Selangor, Perak, Perlis, Kedah, Labuan dan Johor sejak 24 Julai sehingga semalam.

Daripada jumlah itu, katanya, 20 orang dihantar ke hospital untuk rawatan dan 2,200 individu dibenarkan pulang selepas selesai menjalani kuarantin.

Mereka pulang dari 31 negara, iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia dan New Zealand.

Beliau berkata, polis turut melakukan 1,559 pemeriksaan ke atas individu yang sedang menjalani kuarantin wajib 14 hari di rumah semalam.

Katanya, polis menahan 10 individu atas kesalahan imigresen menerusi 70 sekatan jalan raya di seluruh negara untuk mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin, khasnya di lorong tikus.