24 projek PR1MA batal, kata menteri

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin memberitahu Dewan Rakyat hari ini sebanyak 24 projek Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dibatalkan.

KUALA LUMPUR: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin memberitahu Dewan Rakyat hari ini sebanyak 24 projek Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dibatalkan.

Bagaimanapun, daripada keseluruhan 94 projek itu, 70 masih diteruskan.

Beliau berkata, ia dibatalkan selepas mendapati kedudukan tanah yang akan dibina projek itu tidak sesuai.

“Kementerian memerlukan RM342 juta untuk menampung pelbagai kos dan mengurus pembangunan unit PR1MA yang lain sedangkan pada masa ini, kementerian hanya mempunyai RM100 juta.

Zuraida Kamaruddin

“Peruntukan yang digunakan untuk membayar tunggakan hutang, membaik pulih rumah tidak siap, lanjutkan projek terbengkalai dan memberi pampasan kepada tanah yang tidak sesuai.

“Mengikut pelaksanaan rasionalisasi, semua tanah PR1MA akan diselaraskan bawah sistem Jabatan Perumahan Nasional, dengan 1 polisi perumahan mampu milik,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Shahidan Kassim (BN-Arau) ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2019) 2020 untuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.