9 ditahan, sindiket judi dalam talian kaut RM1 juta sebulan tumpas

Lapan lelaki berusia 19 hingga 21 tahun dan seorang lelaki berusia 29 tahun yang merupakan dalang utama sindiket perjudian dalam talian itu ditahan dalam serbuan di sekitar Bukit Mertajam pada 25 hingga 30 Julai lalu.

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket perjudian dalam talian yang mengaut keuntungan sehingga RM1 juta sebulan, susulan penahanan 9 lelaki, termasuk dalang utamanya dalam serbuan di 3 kondominium mewah dan sebuah rumah kedai baru-baru ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Sahabudin Abd Manan berkata pihaknya menjalankan risikan dan intipan sejak bulan lalu sebelum menyerbu lokasi terbabit bermula 25 hingga 30 Julai lalu di sekitar Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah.

“Dalam serbuan itu, polis menahan 8 lelaki berusia 19 hingga 21 tahun dan seorang lagi lelaki yang merupakan dalang utama sindiket tersebut berumur 29 tahun. Siasatan awal mendapati mereka berselindung di sebalik kondominium mewah untuk menjalankan kegiatan perjudian dalam talian bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Siasatan mendapati premis yang disewa sindiket berkenaan dijadikan pusat panggilan untuk pertaruhan judi dalam talian,” katanya pada sidang media semalam.

Beliau berkata, polis sedang mengesan 3 lagi individu, iaitu Tan Khoon Ping, 27, beralamat di No 8, Lorong Lobak 11, Taman Serumpun, Bukit Mertajam; Tan Kok Keong, 34, alamat terakhir No 32 Taman Bukit, Bukit Mertajam serta wanita berusia 27 tahun, Lea Shea Li, yang beralamat No 11, Lorong Bunga Raya 8, Jalan Raja Uda di Butterworth.

Sahabudin berkata, berdasarkan siasatan, 3 kondominium dan rumah kedai itu beroperasi 24 jam sehari dan pekerja akan mengawal komputer utama serta telefon pintar bagi urusan judi dalam talian, termasuk transaksi kewangan.

“Siasatan mendapati sindiket terbabit menyasarkan pelanggan dari utara, iaitu Pulau Pinang, Perak dan Kedah menggunakan pelbagai aplikasi mesej. Mereka akan menghantar mesej secara rawak dalam jumlahbesar dan pelanggan berminat akan menghubungi sindiket tersebut untuk berjudi.

“Pelanggan yang mahu bermain judi dalam talian itu akan memasukkan sejumlah wang dalam akaun diberikan sindiket tersebut, sebelum mereka diberikan kata laluan atau maklumat lanjut mengenainya bagi membolehkan mereka bermain.”

Beliau berkata, polis turut menemui 16 akaun pelbagai bank yang digunakan sindiket itu sebagai transaksi aliran wang untuk kegiatan perjudian dan semua akaun berkenaan sudah dibekukan untuk siasatan lanjut.

Katanya, dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai peralatan yang digunakan sindiket tersebut untuk kegiatan perjudian, termasuk 5 komputer riba, 8 monitor komputer, 6 pemprosesan komputer (CPU), 16 telefon pintar, 17 “router” dan pelbagai simkad telefon.

Sindiket itu dipercayai mengaut keuntungan sebanyak RM30,000 hingga RM50,000 sehari dan dipercayai sudah beroperasi selama setahun.