Art Harun nafi berpihak pada PN susulan perbahasan Goldman Sachs

Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun.

KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun hari ini nafi beliau berpihak pada kerajaan Perikatan Nasional (PN) susulan kejadian di mana beliau nampak seperti membantu Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz, menjawab soalan mengenai penyelesaian dengan Goldman Sachs.

Bercakap kepada pemberita di Parlimen hari ini, Azhar berkata beliau tidak menjawab bagi pihak menteri.

“Saya hanya menjaga masa. Itu sahaja penjelasannya.”

Beliau menjawab pertanyaan tentang dakwaan beliau berpihak kepada kerajaan.

Dalam perbahasan pada 6 Ogos, Azhar mencelah soalan daripada Lim Guan Eng (DAP-Bagan) yang ingin tahu adakah Kabinet menyetujui penyelesaian AS$3.9 bilion itu.

Zafrul berkata AS$2.5 bilion adalah bayaran tunai manakala baki AS$1.4 bilion adalah jaminan bank.

Lim kemudian tanya adakah Kabinet membincangkan dan menyetujui jumlah itu.

Namun sebelum Zafrul menjawab, Azhar berkata: “Ini keputusan Kementerian Kewangan dan semestinya akan dibawa ke Kabinet.”

Azhar hari ini berkata beliau tidak mahu mempolemikkan tindakannya, mengatakan beliau melihat dirinya seperti seorang hakim di Dewan Rakyat.

“Saya tak boleh dan tidak mahu buat begitu,” katanya.

“Saya akan dikritik. Jadi apa yang saya boleh buat? Itu kerja saya.”