Bank mampu lanjutkan moratorium, kata timbalan menteri

KUALA LUMPUR: Kerajaan berkata bank mempunyai kemampuan untuk melanjutkan moratorium jika ekonomi kurang memuaskan pada tempoh mendatang.

Timbalan Menteri Kewangan, Abd Rahim Bakri, berkata bank berkemampuan kerana mempunyai penimbal modal (capital buffer) mencukupi.

“Setiap keputusan untuk lanjutkan moratorium dikawal selia oleh Bank Negara melalui penglibatan persatuan bank,” katanya di Dewan Rakyat, menjawab soalan Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) yang menanyakan adakah bank berkeupayaan melaksanakan moratorium lanjut seandainya ekonomi kurang memuaskan pada tempoh mendatang.

Kerajaan pada 29 Julai bersetuju melaksanakan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar yang lebih bertumpu, khusus untuk golongan yang benar-benar memerlukan, seperti individu yang kehilangan pekerjaan dan masih belum mendapat pekerjaan baru.

Kerajaan mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi sebahagian rakyat yang masih memerlukan bantuan selepas tempoh moratorium 6 bulan berakhir pada September.