Bung Moktar suruh saya tandatangan dokumen pindah wang RM150 juta, kata saksi

Bung Moktar Radin dan isterinya, Zizie Ezette A Samad, menghadapi perbicaraan rasuah atas pelaburan bernilai RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

KUALA LUMPUR: Seorang bekas ahli lembaga pengarah (ALP) Felcra memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini Bung Moktar Radin menghubunginya untuk menandatangani surat pemindahan wang pelaburan RM150 juta berhubung unit amanah Public Mutual.

Abdul Fattah Abdullah, 61, kini presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) berkata Bung yang merupakan pengerusi bukan eksekutif Felcra ketika itu, menghubunginya untuk mengetahui sama ada beliau berada di pejabat untuk menandatangani surat itu.

“Bung Moktar tanya saya sama ada berada di pejabat atau tidak kerana ada dokumen yang dibawa oleh bahagian kewangan Felcra perlu ditandatangani,” kata saksi pendakwaan ke-6 itu semasa pemeriksaan utama oleh timbalan pendakwa raya Siti Noor Hafizan Zakaria pada perbicaraan kes rasuah ahli Parlimen Kinabatangan itu dan isterinya, Zizie Ezette A Samad, yang juga seorang pelakon.

Ketika disoal sama ada beliau mengetahui tujuan pemindahan RM150 juta berkenaan, Abdul Fattah berkata: “Tahu, untuk membuat pelaburan dalam Public Mutual.”

Saksi itu berkata, beliau tidak bertanya mengenai pelaburan RM150 juta itu dan hanya menandatangani surat tersebut seperti yang diminta.

Ditanya Siti adakah menjadi kesalahan sekiranya Felcra tidak melakukan pelaburan tunai baharu sebanyak RM150 juta seperti disyorkan Kementerian Kewangan, Abdul Fattah berkata: “Tidak”.

Beliau berkata, sebagai pengerusi bukan eksekutif Felcra ketika itu, Bung tidak mempunyai kuasa dalam pentadbiran namun bertanggungjawab mempengerusikan mesyuarat ALP dan menjadi penghubung Felcra dengan agensi lain seperti Kementerian Kewangan dan Kementerian Luar Bandar.

Pada prosiding hari ini, Bung diberi pengecualian hadir ke mahkamah bagi membolehkan beliau menghadiri sidang Parlimen. Zizie Ezette hadir ke mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, Bung, 60, didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, 38, melalui Zizie.

Bung dituduh melakukan perbuatan itu sebagai dorongan bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, Jalan Bandar 12, Taman Melawati antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, pada 12 Jun 2015.

Bagi pertuduhan ke-2 Bung didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya wang tunai RM262,500 daripada Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) bernombor 044797816 yang didaftarkan atas nama Zizie bagi tujuan serupa.

Bung juga berdepan tuduhan ke-3 secara rasuah memperoleh untuk dirinya wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) bernombor 044797824 yang didaftarkan atas nama Zizie bagi tujuan sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama jam 12.16 tengah hari dan 12.28 tengah hari, pada 19 Jun 2015 dan semua pertuduhan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zizie, 41, mengaku tidak bersalah atas 3 pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa serupa mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung 24 Ogos.