Covid-19: KKM siasat dakwaan pelajar di Lembah Pantai positif

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata keputusan saringan demam denggi pelajar itu didapati positif.

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menyiasat dakwaan kes positif Covid-19 membabitkan seorang pelajar sekolah di Lembah Pantai yang tular baru-baru ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hasil siasatan awal mendapati pelajar tingkatan 5 itu mengalami gejala muntah serta cirit-birit dan keputusan saringan awal menunjukkan beliau didapati positif demam denggi.

“Namun pengesahan ujian Covid-19 sedang dijalankan di makmal bagi memastikan tiada tindak balas silang semasa ujian yang mungkin boleh berlaku memandangkan beliau dijangkiti demam denggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara menunggu pengesahan ujian makmal itu, KKM memulakan aktiviti awal pengesanan kes secara aktif iaitu sebagai tindakan proaktif yang biasa dijalankan di lapangan bagi mencegah risiko penularan jangkitan.

“Setakat ini, seramai 34 pelajar dan 8 guru dikenalpasti sebagai kontak rapat kepada pelajar itu. Daripada jumlah itu seramai 28 orang disaring dan 14 lagi diberi arahan untuk hadir ke klinik kesihatan untuk persampelan.

“Semua individu yang disaring ini diberi arahan untuk menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) sebagai langkah pencegahan,” katanya.

Selain itu, Noor Hisham berkata, proses nyah cemar dan nyah kuman juga dijalankan di lokasi yang dikenalpasti.

“Situasi semasa akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam pada itu, KKM ingin menegaskan kes Covid-19 hanya akan dilaporkan sebagai positif selepas ia diumumkan secara rasmi oleh KKM.

“Laporan dari sumber lain akan dianggap sebagai spekulasi sehingga siasatan dijalankan dan disahkan oleh KKM,” katanya.