Pilihan raya mengejut perlu untuk kestabilan politik, kata PAS

Presiden PAS Abdul Hadi Awang meramalkan pilihan raya akan diadakan akhir tahun ini atau awal 2021.

KUALA LUMPUR: Orang Melayu mesti memperoleh kedudukan dominan dalam pilihan raya bagi memastikan kestabilan politik di negara ini, kata pemimpin parti Islam yang juga tokoh kanan dalam gabungan kerajaan pada Rabu.

Malaysia menghadapi ketidaktentuan politik sejak perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad mengundur diri pada Februari dan kerajaan baru dibentuk dengan majoriti tipis di Parlimen.

Mahathir digantikan oleh Muhyiddin Yassin, yang pernah menjadi rakan karibnya, dengan sokongan PPBM dan 2 parti lain mewakili orang Melayu – Umno dan PAS yang dicemari skandal.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata, pilihan raya diperlukan untuk menambah wakil orang Melayu di Parlimen dan mengesahkan kuasa gabungan Perikatan Nasional (PN).

“Bagi memastikan kestabilan politik, penting untuk memiliki kaum yang menguasai masyarakat memimpin kerajaan,” kata Hadi ketika ditemubual.

Kaum Melayu yang kebanyakannya beragama Islam, merangkumi kira-kira 60% daripada populasi 32 juta, dengan selebihnya kebanyakan Cina dan India.

Selama beberapa dekad PAS menggesa untuk menubuhkan sebuah negara Islam di Malaysia, meminta hukuman lebih keras terhadap orang Islam atas kesalahan jenayah seperti zina dan minum arak mengikut undang-undang Islam.

“Kawasan yang majoriti beragama Islam perlu diwakili orang Islam, dan juga kawasan majoriti bukan Islam perlu diwakili bukan Islam,” katanya.

Pakatan pimpinan Muhyiddin berjaya menggantikan speaker Dewan Rakyat dengan kelebihan 1 undi, tetapi kemudian berdepan rintangan apabila Umno mengumumkan ia tidak akan menyertai pakatan itu selepas pemimpinnya, Najib Razak, dihukum penjara kerana skandal 1MDB.

Hadi berkata, parti gabungan akan terus menyokong kepemimpinan Muhyiddin dan mencalonkannya sebagai perdana menteri mereka dalam pilihan raya.

“Jika anda mencampurkan sokongan untuk PAS, Umno dan PPBM, banyak kerusi yang kami boleh menang. Kami mungkin dapat memenangi majoriti 2/3,” kata Hadi meramalkan pilihan raya akan diadakan akhir tahun ini atau awal 2021.