SPRM tahan timbalan pengarah di Sabah

Wanita berusia 40 tahun itu ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kira-kira 10 pagi tadi selepas hadir memberikan keterangan.

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seorang timbalan pengarah di sebuah agensi kerajaan negeri ini kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM14,000.

Menurut sumber, wanita berusia 40 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Sabah kira-kira 10 pagi selepas hadir memberikan keterangan.

“Siasatan awal mendapati suspek mengemukakan tuntutan resit palsu berhubung pelaksanaan program agensi kerajaan berkenaan sekitar Julai 2013 hingga Ogos 2014,” katanya.

Pengarah SPRM Sabah S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

“Suspek dibebaskan dengan jaminan SPRM dan kes disiasat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan,” katanya.