Video judi Sungai Buloh: Rombakan dalaman diputuskan selepas siasatan, kata KPN

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata tuduhan mengatakan Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Shafa’aton Abu Bakar tidak mengambil tindakan susulan terdapat kegiatan perjudian di daerah itu adalah tidak benar.

KUALA LUMPUR: Sebarang tindakan termasuk rombakan dalaman membabitkan ibu pejabat polis daerah (IPD) Sungai Buloh hanya akan diputuskan selepas siasatan berhubung kes perjudian di daerah itu selesai, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu berlaku adil dan menyiasat terlebih dulu dakwaan salah laku pegawai dan anggota IPD Sungai Buloh berhubung isu perjudian itu.

“Siasatan dijalankan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman sejak awal lagi iaitu sebelum perkara ini tular dan setakat ini tiada anggota polis yang ditahan.

“Selepas siasatan selesai baru polis akan putuskan apa tindakan akan dibuat, beri sedikit masa dan saya beri jaminan tidak akan melengah-lengahkan kes berkenaan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Hamid berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada akan berlaku rombakan di IPD Sungai Buloh selepas terdapat dakwaan pegawai dan anggota melindungi premis perjudian.

Sementara itu, beliau berkata pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed sudah diarah mendapatkan laporan kegiatan perjudian di seluruh negara.

“Pihak PDRM tidak akan berkompromi dengan aktiviti judi, bukan saja di Sungai Buloh tetapi di semua tempat seluruh negara,” katanya.

Dalam pada itu, Hamid menasihati orang ramai supaya menyalurkan maklumat jenayah terus ke Bukit Aman jika terdapat halangan tertentu di peringkat bawahan.

“Saya menggalakkan apa juga kaedah yang ingin digunakan untuk menyampaikan mesej kejadian jenayah,” katanya.

Berikutan itu, beliau turut memberi amaran kepada pegawai dan anggotanya untuk tidak mendedahkan maklumat pemberi maklumat kepada awam jika mereka (orang awam) melaporkan sebarang kegiatan jenayah.

“Jika saya dapat tahu ada pegawai atau anggota polis yang mendedahkan identiti pemberi maklumat kes jenayah, saya akan ambil tindakan di bawah Kanun Keseksaan terus,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan tuduhan mengatakan Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Shafa’aton Abu Bakar tidak mengambil tindakan susulan terdapat kegiatan perjudian di daerah itu, adalah tidak benar.

“Ketua polis daerah Sungai Buloh ada ambil tindakan dan tidak benar sama sekali dakwaan media sosial kata beliau menafikan wujud aktiviti judi di Sungai Buloh,” katanya.

Baru-baru ini, tular 2 klip video disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook Hot Burger Malaysia serta dikongsi akaun Mohd Asri Hamid, 42, atau dikenali sebagai Asri Janggut yang mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi serta mendedahkan lokasi perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh.

Sebelum ini, Bernama melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menahan 4 penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam kerana disyaki menerima rasuah bagi melindungi premis perniagaan yang menjalankan kegiatan perniagaan tanpa lesen di Sungai Buloh.