WHO nilai data keselamatan vaksin Covid-19 diluluskan Rusia

‘Sputnik V’ yang dibangunkan Institut Penyelidikan Gamaleya dengan kerjasama Kementerian Pertahanan Rusia ialah vaksin Covid-19 pertama yang didaftarkan di dunia, tetapi keberkesanannya diragui kerana tidak melalui ujian klinikal secara menyeluruh dan hanya diuji ke atas berpuluh individu kurang daripada 2 bulan. (Gambar AP)

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam perbincangan dengan Rusia mengenai kemungkinan pra kelayakan vaksin Covid-19 pertama di dunia, lapor agensi berita Xinhua.

“Kami sedang berhubung dengan pihak berkuasa kesihatan Rusia dan perbincangan masih berjalan mengenai kemungkinan pra kelayakan vaksin oleh WHO,” kata jurucakap WHO, Tarik Jasarevic dalam taklimat media secara maya pada Selasa.

Katanya, pra kelayakan daripada mana-mana vaksin melibatkan tinjauan dan penilaian ketat terhadap semua data diperlukan untuk keselamatan dan keberkesanan dalam ujian klinikal dan di peringkat WHO, proses ini sama untuk setiap calon vaksin.

“Setiap negara mempunyai badan pengawasan nasional yang meluluskan penggunaan vaksin atau ubat-ubatan di wilayahnya.

“Pengilang memohon pra kelayakan WHO kerana ia membuktikan piawaian kualiti.”

Presiden Rusia, Vladimir Putin, pada Selasa berkata negaranya sudah mendaftarkan vaksin melawan Covid-19 pertama di dunia.

Beliau berharap pengeluaran besar-besaran vaksin yang didaftarkan di Rusia itu akan bermula dalam waktu terdekat, dan pemvaksinan disediakan untuk orang ramai secara sukarela.

Timbalan Perdana Menteri Rusia, Tatyana Golikova pula berharap pengeluaran vaksin itu akan dimulakan akhir bulan ini atau awal September dan pekerja kesihatan ialah kumpulan pertama yang akan diberikan vaksin itu.