Azalina mohon batal saman Mahathir berhubung pelantikan sebagai timbalan speaker

Timbalan speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said berkata, Mahathir dan 4 yang lain tidak mempunyai locus standi atau hak di sisi undang-undang untuk membawa tuntutan saman berhubung pelantikannya.

KUALA LUMPUR: Azalina Othman Said memohon untuk membatalkan saman pemula dikemukakan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan anaknya serta 3 lagi individu yang mencabar kesahihan pelantikannya sebagai timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Permohonan untuk membatalkan saman pemula itu difailkan bersama dengan setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin yang dinamakan sebagai defendan keempat dalam saman itu.

Peguam Tania Scivetti dan Syazwani Mohd Zawawi yang mewakili Azalina dan Nizam Mydin memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas prosiding pengurusan kes di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Kamal Md Shahid hari ini.

Azalina dan Nizam Mydin selaku defendan kedua dan keempat memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu semalam (12 Ogos) atas alasan kesemua plaintif tidak mempunyai locus standi atau hak di sisi undang-undang untuk membawa tuntutan saman berkenaan, selain mendakwa tiada kausa tindakan munasabah dikemukakan oleh kesemua plaintif terhadap defendan keempat (Nizam Mydin).

Menurut kedua-dua defendan itu, isu yang timbul adalah di luar bidang kuasa mahkamah serta “non-justiciable” atau tiada kewajaran menurut Perkara 63(1) perlembagaan persekutuan.

Pada 7 Ogos, 2 lagi defendan iaitu Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun dan Mohd Rashid Hasnon, timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat turut memfailkan permohonan sama, antara lain atas alasan isu yang dibangkitkan oleh kesemua plaintif, termasuk dalam kategori perdebatan Parlimen yang tidak boleh diadili atau dihakimi oleh mahkamah selaras dengan Perkara 63(1) perlembagaan persekutuan.

Dalam prosiding hari ini, hakim Ahmad Kamal menetapkan 22 September depan untuk mendengar permohonan kesemua defendan bagi membatalkan saman berkenaan.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali mewakili Mahathir dan keempat-empat plaintif lain, manakala peguam Amer Hamzah Arshad dan Hoe Sue Lu bertindak bagi pihak Azhar dan Mohd Rashid.

Pada 23 Julai lepas, Mahathir, anaknya, bekas menteri besar Kedah Mukhriz, bekas menteri pendidikan Maszlee Malik, ahli Parlimen Kubang Pasu Amiruddin Hamzah dan ahli Parlimen Sri Gading Dr Shahruddin Md Salleh memfailkan saman pemula terhadap Azhar, Azalina, Mohd Rashid dan Nizam Mydin yang dinamakan sebagai defendan pertama hingga keempat.

Dalam saman itu, kesemua plaintif memohon deklarasi bahawa kerusi Yang Dipertua Dewan Rakyat sejak 13 Julai lepas masih kosong dan pelantikan Azhar dan Azalina itu adalah tidak sah kerana ia tidak berperlembagaan dan/atau bercanggah dengan perlembagaan persekutuan dan/atau Peraturan 3,4, 6 dan 47 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan/atau kedaulatan undang-undang.

Kesemua plaintif juga menuntut deklarasi bahawa semasa perjalanan sesuatu persidangan Dewan Rakyat, sebaik sahaja usul mengosongkan jawatan Yang Dipertua dan/atau timbalan diluluskan oleh majoriti ahli Dewan Rakyat, maka tempoh 14 hari bagi pihak setiap ahli Dewan Rakyat untuk mengemukakan calon Yang Dipertua dan timbalannya adalah bermula dari tarikh usul itu diluluskan.

Mereka juga memohon perintah seorang Yang Dipertua dan timbalannya, sekiranya jawatan itu dikosongkan semasa perjalanan persidangan berlangsung, hendaklah melalui proses pencalonan, perbahasan dan pengundian cukup bilangan oleh ahli Dewan Rakyat untuk menjadikannya proses pelantikan yang sah.

Antara alasan yang dikemukakan dalam permohonan itu adalah tindakan defendan ketiga (Mohd Rashid) yang membuat penetapan dengan memaklumkan bahawa cuma ada 1 calon, bagi tujuan pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baru, adalah tidak sah.

Ini adalah kerana tidak ada peluang diberi oleh defendan ketiga (Mohd Rashid) dan keempat (Nizam Mydin) kepada semua ahli Dewan Rakyat untuk memajukan pencalonan dan/atau perbahasan dan/atau pengundian bagi mengisi kerusi Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam masa 14 hari sebelum mana-mana mesyuarat lanjutan bagi tujuan pelantikan diadakan.

Plaintif juga mendakwa tindakan defendan keempat untuk memasyhurkan dan/atau memanggil Azhar dan Azalina mengambil tempat sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat dan timbalan adalah bertentangan dengan perlembagaan persekutuan dan/atau Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan tidak sah.

Dalam afidavit yang diikrarkan bagi menyokong saman pemula itu, Mahathir antaranya berkata, mahkamah di bawah kuasa kehakiman, berhak untuk memberikan deklarasi yang dimohon semua plaintif bagi menentukan bahawa mana-mana persidangan Dewan Rakyat selepas 13 Julai yang akan merangkumi keputusan negara dan/atau kelulusan rang undang-undang tidak terpalit dengan kecacatan atau ketidaksahihan.

Beliau juga mendakwa sekiranya mahkamah tidak melaksanakan tanggungjawab untuk memperbetulkan ketidakaturan yang dimohon dalam saman pemula, maka persidangan lanjut Dewan Rakyat selepas 13 Julai yang dipengerusikan oleh Azhar atau Azalina akan menjadi tidak sah dan juga berpotensi untuk menjadikan mana-mana penetapan kelulusan rang undang-undang dan perbahasan juga menjadi tidak sah.