Bahrain daftar sukarelawan jalani ujian klinikal fasa ke-3 Covid-19

Sukarelawan yang mengambil bahagian dalam ujian vaksin Covid-19 akan terus dipantau selama 12 bulan. (Gambar AP)

MANAMA: Direktorat Kesihatan Awam di Kementerian Kesihatan mengumumkan pembukaan pendaftaran sukarelawan untuk mengambil bahagian dalam fasa ke-3 perrcubaan klinikal vaksin Covid-19, lapor agensi berita Bahrain (BNA).

Vaksin tidak aktif itu merupakan pra kelayakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan sukarelawan boleh mendaftar melalui platform sukarelawan nasional.

Kementerian mendedahkan percubaan berkenaan akan melibatkan hingga 6,000 sukarelawan, berusia lebih daripada 18 tahun dan harus menjalani penilaian kesihatan sebelum mendaftar, mengikut syarat kesihatan yang ditetapkan oleh protokol yang dipersetujui.

Kementerian itu menekankan bahawa vaksin yang tidak aktif tidak menyebabkan jangkitan, tetapi mencetuskan tindak balas imun yang menghasilkan antibodi yang melawan virus.

Keberkesanan antibodi yang dihasilkan akan dinilai sebagai ukuran kejayaan vaksin.

Bahrain menyertai Emiriah Arab Bersatu pada fasa ke-3 percubaan klinikal. Percubaan ini berikutan kejayaan melengkapkan2 fasa pertama di China, yang dilaporkan pada kadar kejayaan yang baik.

Penghasilan vaksin Covid-19 mengikuti amalan kualiti dan keselamatan yang ketat yang ditetapkan untuk semua vaksin.

Kementerian berkata, fasa ke-3 percubaan klinikal vaksin itu yang dilakukan dengan kerjasama syarikat farmaseutikal yang berpangkalan di China, Sinopharm, diluluskan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Kesihatan Kebangsaan (NHRA).

Ini akan melibatkan pemberian vaksin yang tidak aktif kepada sukarelawan terpilih untuk mengkaji keberkesanan penghasilan antibodi dan perlindungan yang diperlukan terhadap virus tersebut.

Subjek yang akan mengambil bahagian dalam percubaan akan terus dipantau selama 12 bulan.

Kementerian berkata, ia berharap ujian klinikal di negara itu akan berhasil, mengambil kira dapatan luar biasa yang dicapai dalam fasa pertama dan ke-2 di pelbagai negara.

Bagi yang ingin menjadi sukarelawan dalam percubaan klinikal fasa ke-3 vaksin Covid-19 yang tidak aktif, ia boleh dilayari di https://volunteer.gov.bh/.