Jemaah menteri teliti laporan akhir ganti hukuman mati mandatori

KUALA LUMPUR: Jemaah menteri sudah menerima laporan akhir untuk ia mempertimbangkan penggantian hukuman mati mandatori dengan hukuman lebih wajar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan berkata jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk melaksanakan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori sudah menyerahkan laporan tersebut, yang mengandungi syor terhadap 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, pada 17 Julai.

“Jawatankuasa khas selesai melaksanakan kajian berkaitan polisi penghukuman bagi menggantikan hukuman mandatori dengan hukuman yang lebih wajar, tertakluk kepada budi bicara mahkamah,” katanya di Dewan Rakyat, menjawab pertanyaan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor).

Hasil dapatan kajian ini dijangka akan menjawab persoalan sama ada kerajaan bercadang untuk meminda hukuman bagi kesalahan pengedaran dadah kepada hukuman penjara berdasarkan fakta setiap kes, katanya.

“Jawatankuasa khas turut mengemukakan cadangan penambahbaikan kepada sistem keadilan untuk jangka masa panjang,” katanya.

Sementara itu, menjawab pertanyaan tambahan daripada Ramkarpal, Takiyuddin melaporkan seramai 918 banduan bagi kesalahan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dihukum mati mandatori setakat 11 Ogos.

Daripada jumlah itu 472 orang merupakan warga tempatan. Warga Nigeria tertinggi dalam kalangan warga asing, iaitu seramai 111 orang.

“Secara keseluruhan 1,324 banduan dihukum mati atas pelbagai kesalahan yang mana sebahagian besar adalah membabitkan 39B,” katanya.

Takiyuddin berkata kerajaan bimbang melihat bilangan warga tempatan yang dihukum mati atas kesalahan Seksyen 39B, iaitu berkenaan pengedaran dadah berbahaya.