Kami ‘berkomunikasi’ dengan bekas suami Indira Gandhi, kata KPN

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador hari ini berkata, polis kini berkomunikasi dengan bekas suami Indira Gandhi dan cuba meyakinkannya supaya mematuhi perintah mahkamah membawa pulang anak perempuannya ke negara ini.

“Kami tmendapat bantuan daripada ahli politik kanan tertentu untuk meyakinkan bekas suami Indira, Muhammad Ridhuan Abdullah,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini, hari ini.

“Dia tidak ada di sini, tetapi saya tahu dia berada di mana.”

Bekas suami Indira memeluk Islam pada 2009 sebelum menukar agama 3 anak mereka tanpa izin beliau.

Pada 2018 Mahkamah Persekutuan memutuskan perbuatan itu bercanggah dengan undang-undang.

Anak perempuan mereka, Prasana Diksa, berusia kira-kira 1 tahun ketika Ridhuan melarikannya pada 2009.

Pada 2016, Mahkamah Persekutuan memerintahkan polis menahan Ridhuan dan memulangkan Prasana.

Tahun lepas, mahkamah memerintahkan polis supaya memburu Ridhuan, berikutan penubuhan 1 pasukan petugas khas ditubuhkan untuk tujuan tersebut.

Ketika ditanya tentang keberadaan Ridhuan, Hamid berkata: “usaha sedang dilakukan untuk meyakinkannya. Maksudnya kita sudah mengenal pasti beliau.”

“Sejauh mana dia boleh pergi?” tambahnya. “Ke mana dia mahu pergi? Filipina? Indonesia? Thailand? Mana lagi? India? Pakistan?”

“Pegawai saya sedang berkomunikasi dengan pertolongan pihak ketiga,” katanya, sambil menambah bahawa ia hanyalah soal masa.

Beiau berkata, kenyataan yang mengkritik dan mewar-warkan usaha polis adalah “merugikan”.

“Pegawai saya perlu bertindak secara diam-diam dan selamat untuk meyakinkan bekas suaminya bahawa anaknya perlu dikembalikan demi kebaikan anak itu sendiri. Selain itu, beliau perlu mematuhi keputusan mahkamah.”

Katanya, beliau bersedia berjumpa Indira untuk membincangkan perkara itu, namun ia harus dibuat secara tertutup.