Kenapa bukan pejabat daerah serah geran tanah, kata PBS

Shafie Apdal menyampaikan geran tanah kepada salah seorang penduduk kampung di Kudat, semalam.

KOTA KINABALU: Setiausaha agung Parti Bersatu Sabah (PBS) Jahid Jahim berkata, kerajaan diterajui Warisan sepatutnya memberi laluan kepada pejabat daerah untuk menyampaikan geran tanah kepada penerima, bukannya ketua menteri.

Katanya, jika Shafie Apdal yang juga presiden Warisan benar-benar ikhlas, beliau sepatutnya membiarkan penerima geran tanah mendapatkannya daripada pegawai daerah serta tidak mengadakan majlis besar-besaran.

Katanya, acara besar-besaran diadakan itu digunakan Shafie untuk memberikan ucapan menggembirakan sedangkan beliau sebenarnya tidak layak kerana usaha itu sudah dimulakan kerajaan terdahulu.

“Apa yang menjadi persoalan mengapa majlis sedemikian diadakan sedangkan negeri ini masih bergelut dengan wabak Covid-19.

“Tindakan oleh kerajaan negeri ini sangat tidak sesuai kerana wabak itu (Covid-19) masih menjadi ancaman kepada orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Belaiu berkata, walaupun kerajaan pimpinan Warisan menafikan tindakan mereka menyampaikan geran tanah kepada penerima tidak melanggar undang-undang, namun motifnya tetap menjadi persoalan.

“Sehubungan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) harus meneliti sama ada lawatan Shafie ke beberapa daerah untuk menyerahkan geran tanah adalah untuk berkempen dan memancing undi,” katanya.

Semalam, Shafie menafikan dakwaan beliau cuba membeli undi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dengan menyampaikan geran tanah kepada penduduk kampung.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, kerajaan negeri berusaha mengeluarkan sijil tanah adat negeri (NT) kepada pemohon yang layak sejak tahun lalu.

“Apa yang tidak kena? Saya sudah memberikan hak milik tanah sejak setahun lalu.

“Ini bukan untuk membeli undi. Selagi writ pilihan raya belum dikeluarkan, kerajaan sementara masih boleh berfungsi untuk memberi (hak milik tanah),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan 399 sijil NT kepada penduduk kampung di daerah utara Kudat, semalam.

Sementara itu, Jahid berkata penerima geran tanah perlu berterima kasih kepada kerajaan terdahulu yang dipimpin Musa Aman kerana berusaha menjadikannya kenyataan.

“Musa mencetuskan idea untuk mempercepatkan proses tinjauan serta pemberian hak milik tanah menerusi program Pantas (Perkhidmatan tanah adat Sabah),” katanya.

Beliau berkata, kerajaan persekutuan terdahulu yang diterajui Barisan Nasional (BN) memberi peruntukan RM20 juta bagi tujuan itu dan ia juga berkat usaha pemimpin Sabah dalam Kabinet persekutuan ketika itu termasuk presiden PBS, Maximus Ongkili.

“Nampaknya Shafie dan kerajaannya sudah tiada agenda lain untuk membangunkan sosio ekonomi yang komprehensif untuk rakyat.

“Sebaliknya, mereka hanya bergantung kepada propaganda untuk mendapatkan sokongan, menjanjikan itu ini tanpa ada bukti selepas 26 bulan berkuasa.

“Tidak hairanlah mereka bergantung kepada pencapaian BN yang kemudian mendakwa itu kejayaan mereka,” katanya.