Kluster baharu Covid-19 dikesan di Kedah

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengesan kluster baharu membabitkan 9 kes baharu di mukim Tawar, Baling, Kedah.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah melaporkan kes pertama kluster itu ialah seorang lelaki tempatan yang merupakan seorang peniaga (kes 9113).

“Beliau mempunyai sejarah menghadiri upacara keagamaan memperingati kematian ahli keluarga yang berlangsung dari 31 Julai 2020 hingga 1 Ogos 2020. Upacara ini dianggarkan dihadiri seramai 30 orang,” katanya pada sidang media hari ini.

Setakat ini, daripada 86 kontak rapat yang disaring, 9 kes dikesan positif Covid-19 manakala 21 negatif dan 56 masih menunggu keputusan.

“Semua kes baharu kluster ini ahli keluarga beliau, di mana 3 kes didapati mempunyai gejala,” katanya.

Mengulas kes lain, iaitu kes seorang pelajar di Lembah Pantai, Kuala Lumpur yang didisyaki positif, Hisham melaporkan ujian 2 kali dalam tempoh 24 jam didapati negatif.

Saringan kontak rapat turut dijalankan ke atas 54 individu, membabitkan 42 di sebuah sekolah menengah kebangsaan, 4 ahli keluarga, 5 rakan keluarga, dan 3 anggota kesihatan.

“Semua ujian pengesahan Covid-19 untuk 54 individu ini adalah negatif,” katanya.