Komuniti orang Asli harus dilibat dalam pembangunan, penerokaan hutan

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Madeline Berma berkata mereka tidak pernah menentang pembangunan dan meminta sebarang rancangan tidak hanya mengutamakan aspek ekonomi semata-mata tanpa melihat kesan kepada komuniti.

PETALING JAYA: Setiap pembangunan dan penerokaan hutan yang menjadi tempat tinggal masyarakat orang Asli serta orang Asal harus membabitkan komuniti itu bagi mengelakkan kerosakan teruk pada masa depan.

Ia ditegaskan Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Madeline Berma dan Naib Presiden Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS), Yusri Ahon yang menjadi panel dalam bicara secara langsung bertajuk ‘Orang Asal, Pembela Bumi Terakhir: Impak Amalan Adat & Ekonomi dianjurkan Platform CSO Untuk Perubahan.

Medeline dari etnik Dayak berkata, orang Asal seperti mereka tidak pernah menentang pembangunan dan meminta sebarang rancangan tidak hanya mengutamakan aspek ekonomi semata-mata tanpa melihat kesan kepada komuniti.

“Cuma kadang-kadang pembangunan tidak membabitkan mereka, tiba-tiba ada empangan. Saya agak emosi (mengenai perkara itu) dan selalu duduk dengan mereka yang terjejas.

“Contohnya ketika di Kelantan, kami ditunjukkan ratusan hektar untuk penanaman durian Musang King. Berapa banyak orang Asli di sana hendak makan durian? Yang untung adalah orang lain,” katanya.

Kenyataan itu dipersetujui oleh Yusri yang mahu supaya pendapat mengenai pembangunan dan penerokaan tanah tidak hanya mengambil pendapat golongan atasan walaupun dari kaum orang Asli yang menjawat jawatan tinggi.

“Sepatutnya kena tanya badan bukan kerajaan (NGO) seperti kami yang mewakili golongan bawahan, bukan hanya pendapat kumpulan atasan yang hanya mahukan kemajuan semata-mata tanpa memikirkan kesan lain.

“Kalau boleh beri juga peluang pemantauan kepada kami, jika tidak lain yang dirancang, tetapi lain pula jadinya sehingga merugikan masrakat orang Asli,” katanya.

Dalam seminar dihoskan oleh Radin M Imaduddin itu, Yusri turut meminta ahli Parlimen dan Senator mempunyai keazaman politik untuk membawa pindaan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) yang sudah terlalu lama dan tidak sesuai dengan keadaan semasa.

“Banyak yang sudah tidak relevan, walaupun kalau kita baca Seksyen 6 dan 7 akta itu ia menjelaskan mengenai hak orang Asli di semenanjung Malaysia, namun kalau lihat Subseksyen 1 ia menyatakan kuasa masih dipegang menteri.

“Kami NGO sudah berusaha tetapi untuk merealisasikannya adalah tanggungjawab ahli Parlimen dan Senator untuk mengangkatnya kepada Yang di-Pertuan Agong. Setakat ini ia terhenti begitu sahaja dan kita harap ia diteruskan,” katanya.