Korea Selatan gesa doktor batal rancangan mogok

Korea Selatan merancang untuk menambah jumlah doktor dengan alasan kekurangan kemudahan perubatan di luar bandar, serta pandemik Covid-19 yang berkemungkinan besar tidak akan berakhir dalam waktu terdekat. (Gambar AP)

SEJONG: Kerajaan pada Khamis mendesak doktor supaya membatalkan mogok di seluruh negara yang dirancang minggu ini, dengan amaran ia akan mengambil tindakan tegas sekiranya tindakan itu mendatangkan bahaya dan gangguan kepada pesakit, lapor agensi berita Yonhap.

Persatuan Perubatan Korea (KMA), yang mewakili 130,000 doktor, merancang melakukan mogok umum pada Jumaat bagi menyuarakan bantahan terhadap rancangan kerajaan melahirkan lebih ramai doktor.

“Kami mendesak doktor agar tidak mengambil tindakan ekstrem dengan mengorbankan pesakit,” kata Menteri Kesihatan Park Neung-hoo dalam satu kenyataan.

“Masalah berkaitan dasar perubatan harus dibincangkan dengan pemerintah. Ia tiada kaitan dengan pesakit,” kata Park, sekali gus memberi amaran bahawa kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya mogok mengancam kesihatan dan keselamatan pesakit.

Korea Selatan ketika ini merancang untuk menambah jumlah doktor di negara itu, dengan alasan kekurangan kemudahan perubatan di luar bandar, serta pandemik Covid-19, yang kemungkinan besar tidak akan berakhir dalam waktu terdekat.

Di bawah rancangan pembaharuan tenaga kerja perubatan negara, Kementerian Kesihatan merancang memperluas kuota kemasukan ke pusat pengajian perubatan sebanyak 4,000 dalam 10 tahun ke depan mulai 2022, serta membuka pusat pengajian perubatan awam yang baru.

Skim ini akan meningkatkan jumlah pelajar yang diterima setiap tahun ke pusat pengajian perubatan kepada 3,458 dalam tempoh 2022-2031 berbanding 3,058 ketika ini.

Kumpulan itu berkata, peningkatan jumlah doktor baru hanya akan menyebabkan lebih banyak persaingan dalam kalangan doktor dan tidak akan membantu mengurangkan perbezaan kemudahan perubatan di antara wilayah.

Mereka turut membantah rancangan untuk memasukkan perubatan tradisional dalam sistem insurans kesihatan awam negara kerana menganggap bidang berkenaan kurang saintifik dan penting.

Pada Rabu, Kementerian Kesihatan berkata, pihaknya terbuka untuk berunding dengan KMA, tetapi menambah ia tidak dapat menunda lebih lama rancangan berkenaan.

Doktor tempatan menolak permintaan itu dengan berkata, protes akan diadakan seperti yang dirancang.