Kuota perjalanan rentas sempadan ke Singapura penuh untuk tempoh 3 hari

Perjalanan rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura akan dibuka semula pada Isnin ini (Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Kuota permohonan rentas sempadan Malaysia dan Singapura bawah skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) mulai 17 Ogos ini sudah penuh untuk tempoh 3 hari.

Pengarah Jabatan Imigresen Johor Baharuddin Tahir berkata, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sudah menerima 180 permohonan RGL dan 6,000 permohonan bagi PCA, bagi keseluruhan 3 hari berkenaan, mulai Isnin lalu (10 Ogos).

“Sehingga petang ini, saya melihat kuota pada tarikh 17, 18 dan 19 hari bulan ini telah penuh. Untuk RGL adalah 400 orang bagi tempoh seminggu, iaitu maknanya sehari antara 50 hingga 60 orang manakala PCA pula adalah 2,000 orang sehari.

“Keputusan permohonan merentas sempadan hanya diketahui sehari sebelum mereka memulakan perjalanan yang akan dimaklumkan menerusi e-mel,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat berhubung pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura kepada Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) di Bangunan Sultan Iskandar hari ini.

Menurutnya, bagi memastikan kelancaran, jabatan terbabit bersama agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor menempatkan anggota yang cukup di laluan bas, pejalan kaki, kereta serta motosikal.

Pada 26 Julai lepas, Menteri Luar Hishammuddin Hussein dan rakan sejawatan dari Singapura Vivian Balakrishnan bertemu di atas Tambak Johor.

Ia sebagai simbolik menandakan persetujuan pembukaan sempadan kedua-dua negara yang dijangka bermula seawal 17 Ogos, selepas kedua-dua negara menutup sempadan masing-masing bagi mengekang penularan Covid-19, bermula dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan oleh Malaysia pada 18 Mac lepas.

RGL akan membolehkan perjalanan rentas sempadan bagi tujuan perniagaan dan rasmi yang penting antara kedua-dua negara manakala PCA akan membolehkan penduduk yang memegang pas imigresen jangka panjang bagi tujuan perniagaan dan kerja di salah 1 negara memasuki negara itu.