Lelaki dakwa dihalau dari pangsapuri akibat ‘warna kulit’

Mesej WhatsApp daripada pemilik yang dihantar oleh pihak pengurusan kepada penyewa.

SUBANG JAYA: Seorang penyewa India dihalau dari pangsapuri di Subang Jaya kurang 2 minggu selepas berpindah, dengan pihak pengurusan memaklumkan pemiliknya lebih memilih penyewa Cina.

David (bukan nama sebenar) memberitahu FMT, dia diberi masa hanya beberapa jam untuk mengosongkan kediaman itu selepas pihak pengurusan menghantar beberapa mesej WhatsApp daripada pemilik yang memintanya keluar.

“Saya pernah mendengar ia berlaku sebelum ini, namun terkejut apabila ia berlaku kepada saya,” katanya sambil menyifatkan ia tidak masuk akal.

Katanya, dia sedih dan kecewa dengan apa yang berlaku.

Selepas berkongsi kisahnya di Facebook, David mendapati ramai netizen yang menyokongnya.

“Orang ramai perlu sedar ini masih berlaku di Malaysia,” katanya.

David berkata, dia turut mendapatkan nasihat undang-undang mengenai perkara itu bagi tujuan pampasan.

Kejadian itu berlaku kurang 2 minggu selepas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata, undang-undang untuk mengatasi isu diskriminasi perkauman dalam pasaran hartanah akan dibawa ke Parlimen awal tahun depan.

Pihak pengurusan terbabit mengesahkan kejadian menimpa David selepas dihubungi FMT